LIBERALISME YANG MEMPERJUANGKAN HAK KEBEBASAN TANPA BATASAN DAN MENOLAK KEPERCAYAAN AGAMA ADALAH FAHAMAN YANG SESAT DAN MEMBAHAYAKAN

 

Liberalisme adalah satu bentuk serangan pemikiran yang paling menonjol dan berbahaya pada abad ini. Selain fahaman liberalisme memberi fokus terhadap hak dan kebebasan individu dalam aktiviti perekonomian dan sosial, ia juga membawa fahaman yang mengingkari agama kerana mengganggap agama sebagai racun yang menjadikan seseorang terkebelakang, jumud, terkongkong daripada nilai-nilai kebebasan sosial yang difahami oleh Barat.

Menurut  tokoh-tokoh pendukung liberalisme, kedaulatan atau kebebasan peribadi adalah hak kebebasan manusia, hak peribadi dan hak memiliki harta tanpa wujud elemen campur tangan daripada pemerintah. Begitu juga dengan kebebasan individu yang dimaksudkan termasuk juga kebebasan seseorang yang tidak dikongkong oleh kepercayaan agama dalam kehidupan mereka sehingga mereka bebas membuat pilihan tentang baik buruk sesuatu tindakan berdasarkan pemikiran mereka sendiri

Menurut fahaman liberal, pemerintah perlu dikenakan kawalan agar tidak bersifat menindas dan zalim terhadap kumpulan yang diperintah. Hal ini menjelaskan bahawa pemerintah merupakan ‘kerajaan terhad’ iaitu pemerintah yang tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan perlembagaan, bersesuaian dengan persetujuan bersama untuk bernaung di bawah satu set undang-undang yang telah digubal. Sedangkan undang-undang tersebut juga mesti berdasarkan prinsip keadilan dan kebebasan individu untuk membuat pilihan.

Sebagai contoh mereka yang berfahaman liberal memandang baik kepada kebebasan individu Muslim dalam menukar agama. Pihak berkuasa tidak mempunyai sebarang hak untuk menyekat mereka daripada berbuat demikian. Mereka juga memandang baik kepada prinsip pluralism agama dalam erti kata semua agama mendapat hak yang sama.

Namun, fahaman liberalisme ini memang bahaya dan menyesatkan kerana meskipun dalam keadaan tertentu kehidupan manusia boleh berlaku, berdasarkan prinsip lumrah semulajadi (state of nature),  ia masih terbatas kepada berbagai peraturan hidup, sekatan undang-undang dan nilai sosial yang perlu dipatuhi untuk menjadikan kehidupan ini terkawal dan harmoni. Meskipun, semua manusia bebas dan merdeka, namun ianya tidak bermaksud bebas tanpa kawalan dan boleh melakukan apa sahaja yang disukai mengikut pemikiran mereka.

Apatah lagi dalam kehidupan yang diatur dengan nilai agama yang mementingkan keadilan untuk seluruh kehidupan manusia. Agama Islam tidak membataskan umatnya untuk melakukan perkara yang disukai, namun setiap perbuatan dan tutur kata perlulah selari dengan apa yang telah disyariatkan. Islam mengatur peraturan untuk kesejahteraan umat manusia bukan sahaja di dunia malah untuk kehidupan di akhirat yang kekal buat selamanya.Oleh itu, kehidupan di dunia ini akan berkait dengan kehidupan selepas mati (akhirat) nanti kerana ia berkait dengan ‘perkara-perkara ghaib’ yang wajib bagi umat Islam untuk mempercayainya iaitu berkaitan pahala, dosa, syurga dan neraka.

Walaupun fenomena kini memperlihatkan ancaman-ancaman liberal samada dari sudut pemikiran dan gaya hidup semakin menekan kehidupan orang-orang Muslim, namun kita sepatutnya tetaplah teguh dengan pendirian dalam memegang akidah dan meneruskan usaha mengharungi cabaran yang penuh pancaroba. Diharapkan dengan usaha kecil kita di dunia ini akan beroleh pahala dan ganjaran syurga di akhirat kelak.

 

Sumber: Malaysian Journal of Social Science Jilid 1 (2016) 


Comments