MENUNTUT ILMU ADALAH JIHAD YANG PALING UTAMA DEMI MENGHILANGKAN KEJAHILAN DAN MENGHINDARI KESESATAN


Islam memerintahkan umatnya – lelaki dan perempuan menuntut ilmu. Orang yang berilmu tidak sama dengan orang yang tidak berilmu. Orang yang berilmu dan beriman diangkat martabatnya beberapa darjat. Semua panduan dan pengajaran yang diperoleh daripada agama ini jelas menunjukkan bahawa umat Islam mestilah menjadi umat yang berilmu, berpendidikan tinggi dan mampu menjadi umat yang terbaik di dunia dan di akhirat.

Bukan hanya setakat mempunyai ilmu untuk menjadi umat yang terbaik di dunia dan akhirat, malah para Muslim digalakkan untuk mempunyai ilmu bagi menghilangkan kejahilan dan membentengi diri daripada kesesatan terutamanya dalam menghadapi dakyah kumpulan militan dan ekstremis dalam memahami erti jihad yang sebenar. Zaman ini, terdapat banyak kumpulan sesat dan ektremis yang cuba untuk mempengaruhi pemikiran rakyat dengan ajaran sesat dan fahaman-fahaman ektremisme di negara ini. Menurut Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya Zhahiratu al-Ghuluw Fi al-Takfir:

“Orang yang bekerja tidak atas dasar ilmu, sama dengan orang yang berjalan tidak di atas jalan yang benar. Orang yang bekerja tidak berdasarkan ilmu, akan membuat lebih banyak kerusakan daripada kebaikkan. Oleh sebab itu, hendaklah kalian menuntut ilmu, tanpa meninggalkan ibadah dan mengerjakan ibadah tanpa merugikan ilmu. Ada satu kaum yang tekun beribadah, tetapi meninggalkan ilmu. Oleh kerana itu, mereka bangkit memanggul senjata memerangi ummat Muhammad SAW. Sekiranya mereka menuntut ilmu, maka ilmu itu tidak akan membimbing mereka berbuat apa yang seperti mereka perbuat.”

Oleh itu, menuntut ilmu adalah menjadi kewajipan utama umat Islam dan ia merupakan bahagian daripada jihad fisabilillah yang utama seperti dijelaskan oleh Imam Ibnu Qayyim:

"Mempelajari ilmu agama, mengajarkanya merupakan bahagian dari jihad fisabilillah yang paling utama" (Ibnu Qayyim, kitab Miftahu Daris Sa'adah 1/71).

Perkara ini selari dengan apa yang dijelaskan oleh baginda Rasulullah SAW iaitu orang yang keluar menuntut ilmu adalah orang yang berjihad fisabilillah seperti sabdanya yang bermaksud:

"Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu, maka ia telah berjihad fisabilillah hingga ia kembali (pulang dari menuntut ilmu) (HR at-Tarmizi).

Justeru adalah menjadi kewajipan kita untuk menyeimbangi kedua-dua perkara tersebut, ilmu dan ibadah. Islam adalah agama yang sangat besederhana dan tidak melampaui batas. Sekiranya ada sesetengah pihak yang mendakwa Islam mengajarkan para umatnya untuk jihad dengan hanya mengangkat senjata bagi mendapat ‘syahid’ dan keredhaan Allah SWT, itu sudah menyimpang jauh. Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu, sebagaimana sabda Raulullah SAW:

“Sesungguhnya agama (Islam) itu mudah, dan tidaklah sama sekali seseorang yang tasyaddud dalam beragama melainkan pasti agama itu akan mengalahkannya, oleh sebab itu hendaklah kamu menepatinya dan menghampirinya dan bergembiralah (dengan berita itu). Dan mohon pertolonganlah kamu dengan waktu pagi dan petang dan sedikit daripada waktu malam. (Dan dalam lafaz yang lain pula): Hendaklah kamu bersikap sederhana, hendaklah kamu bersikap sederhana, niscaya kamu akan sampai (kepada tujuan yang selamat).” (HR Bukhari: 39)

Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


 

Comments