MUSLIM YANG UTAMA ADALAH MUSLIM YANG MENJAGA LIDAH DAN TANGANNYA

Menjadi seorang Muslim yang baik dan utama adalah dambaan setiap umat Islam. Tapi adakah kita sedar bahawa untuk menjadi seorang Muslim yang baik memerlukan penjagaan lidah dan tangan dengan teliti? Maksud penjagaan lidah dan tangan dengan teliti adalah tertib dari segi lisan (perkataan) mahupun kelakuan.

Pada hari ini, kebanyakan umat Islam amat payah mahu menjaga kedua-dua perkara ini dan bebas melakukan apa sahaja asalkan apa yang mahu disampaikan itu tercapai. Daripada Abu Hurairah R.A, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia berkata baik ataupun diam.” (HR Al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis di atas, sudah jelas dan nyata akan perintah Rasulullah SAW bahawa sekiranya kita tidak mempunyai apa-apa perkara baik yang mahu diungkapkan, maka elok lah berdiam. Hal ini kerana perbuatan dan percakapan yang dikeluarkan kadang-kadang boleh menghiris hati dan perasaan manusia dalam sekelip mata. Imam Al-Nawawi juga memberi penjelasan terhadap hadis ini bahawa seseorang hendaklah tidak berbicara kecuali apabila perbicaraan itu adalah baik, iaitu hal yang telah jelas kemaslahatannya. Dan bila dia masih ragu kemaslahatan tersebut, maka hendaklah dia tidak berbicara.

Maka apabila kita hendak bercakap, bercakaplah hanya kepada benda yang baik. Kalau tidak ada benda yang baik, dituntut supaya kita diam. Ini bererti, hendaklah kita berfikir dulu sebelum kita bercakap. Bukan cakap dulu baru fikir.

Allah SWT berfirman:

“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.” (QS An-Nisaa’:114)

Oleh itu, hendaklah kita sentiasa menjaga lisan dan perbuatan kita sekiranya kita mahu menjadi seorang Muslim yang utama. Ini kerana Allah menjanjikan balasan yang setimpal bagi mereka yang abai akan perintahNya. Berbuat baiklah sesama manusia dari segi pertuturan dan perlakuan kerana ia dituntut dalam agama Islam

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)


 

Comments