Sikap saling
hormat-menghormati adalah salah satu sifat mahmudah atau sifat terpuji dalam
Islam. Sifat saling hormat-menghormati ini harus ada kepada seseorang muslim
yang mengaku beriman kepada Allah SWT. Sikap hormat-menghormati ini adalah
antara ciri-ciri menampilkan seseorang yang berakhlak mulia.
Namun,
akhir-akhir ini sifat saling hormat-menghormati ini telah mula terhakis sedikit
demi sedikit daripada amalan umat Islam. Apabila hormatmenghormati ini sudah
tiada, ia bukan sahaja akan menyebabkan kerosakan pada hubungan sesama manusia
malah ia akan menyebabkan imej Islam itu akan dipandang negatif oleh pelbagai
pihak.
Firman Allah
SWT:
“Dan janganlah
engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah atau sombong) kepada
manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong;
Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong,
takbur, lagi membanggakan diri.” (QS Luqman: 18)
Dalam negara Malaysia
yang bermasyarakat majmuk, adalah menjadi cabaran bagi semua kaum yang
menganuti pelbagai agama dan kepercayaan untuk hidup dalam keadaan rukun dan
damai. Pergolakan sosiopolitik yang sentiasa wujud dalam negara yang bergerak
maju mestilah diurus dengan penuh kebijaksanaan, keadilan dan ketegasan.
Justeru, sebagai
Muslim yang berpegang teguh dengan ajaran al-Quran dan As-Sunnah, kita
seharusnya memupuk sikap saling hormat-menghormati agar kehidupan masyarakat
sentiasa sejahtera. Sebagai tanda berimannya seseorang itu adalah dengan saling
hormat-menghormati sesama masyarakat dan sekelilingnya. Dengan saling
hormat-menghormati ini, setiap masyarakat itu akan hidup dengan rukun damai dan
harmoni. Masyarakat yang hidup harmoni akan mampu melaksanakan tanggungjawab
bersama dalam membangunkan masyarakat seterusnya akan menggembirakan kehidupan
bermasyarakat sesama mereka.
Sumber: Majlis
Agama Islam Selangor (MAIS)
Comments
Post a Comment