SALING BERKASIH SAYANG DAN BERSILATURAHIM ADALAH ASAS PERPADUAN UMMAH DAN BENTENG KEMAKSIATAN BAGI SETIAP MUSLIM
Mutakhir
ini, ramai di antara kita sudah hilang rasa hormat dan sopan santun sesama
sendiri terutamanya kaum Muslim. Boleh dikatakan saban hari kita dipertontonkan
di laman sosial bagaimana perlakuan manusia yang kurang sopan, tidak beradab
dan yang paling teruk adalah sikap mereka yang melampaui batas. Apa yang
terjadi dalam masyarakat kita sekarang? Mana perginya nilai dan sopan santun serta
kasih sayang yang disulami dengan nilai-nilai Islam yang diajarkan kepada kita
sejak zaman-berzaman?
Dari
Abi Musa al-Asyari, sesungguhnya aku mendengar Nabi SAW bersabda: Kamu tidak
dianggap beriman sehingga kamu saling menyayangi. Para sahabat berkata: Wahai
Rasulullah, kami semua adalah penyayang. Rasulullah SAW bersabda: Kasih sayang
yang dimaksudkan bukanlah kasih sayang di antara kalian sahaja bahkan kasih
sayang kepada seluruh manusia dan seluruh makhluk. (HR Tobrani: 13671)
Lihat
hadis di atas, Rasulullah SAW sendiri telah menegur para sahabat untuk saling
berkasih sayang kepada semua makhluk terutama sekali kita sebagai manusia dan
sesama Muslimin. Ikatan persaudaraan sesama Muslim umpama sebuah bangunan yang
saling menyokong antara satu sama lain bagi memastikan kekuatan sesebuah
bangunan itu terus terpelihara. Begitu juga diibaratkan silaturahim sesama
Muslim yang harus dipelihara supaya dapat menguatkan perpaduan umat Islam dan
dapat menghalang segala kebatilan dalam diri. Ini kerana barangsiapa yang
saling sayang-menyayangi dan mengukuhkan silaturahim, Allah SWT telah
menjanjikan ganjaran yang terbaik di akhirat kelak.
Sabda
Rasulullah SAW:
“Firman Allah
Taala (dalam Hadith Qudsi) orang-orang yang berkasih sayang kerana keagunganKu akan mendapat minbar-minbar
daripada cahaya yang diinginkan oleh para nabi dan syuhada’.” (HR at-Tirmizi)
Dalam
hal ini, walaupun secara zahirnya manusia akan kembali menemui Allah SWT dalam
keadaan keseorangan, tetapi seorang Mukmin tetap bergantung kepada doa daripada
saudara Islam untuk mendapat tempat yang baik di akhirat nanti. Islam juga
mendidik umatnya untuk saling menyayangi antara satu sama lain kerana dengan
persaudaraan itulah yang akan menguatkan hubungan ukhuwah umat Islam.
Sumber: Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Berita Harian “Jaga silaturahim tanda
kesempurnaan iman” (16 Ogos 2015)
Comments
Post a Comment