SEBARKAN SIKAP KASIH SAYANG SESAMA MUSLIM BAGI MEMBENTENGI PENGARUH EKSTREMISME


Mutakhir ini, ramai di kalangan kita terutama generasi muda yang sudah mula terpengaruh dengan agenda puak-puak ektremisme dengan mempercayai bahawa pemikiran merekalah yang paling benar. Lebih-lebih lagi golongan belia dan pertengahan yang kurang pengetahuan agamanya, apabila berjaya dipengaruhi oleh puak-puak ekstremis tersebut menjadi begitu taksub dengan seruan jihad yang kononnya mendapatkan mati syahid, sehingga mereka tidak boleh membezakan yang mana hak dan batil.  Adakah dengan berfikiran secara melampau tidak kiralah dari segi agama ataupun dari aspek kehidupan dianggap pemikiran yang benar? 

Sabda Rasulullah SAW: 

“Tidak beriman salah seorang di antara kamu hingga dia mencintai untuk saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri”. (HR Bukhari dan Muslim)

Ayat di atas sudah jelas menggambarkan bagaimana kita perlu bersama-sama menyebarkan kasih sayang ini secara menyeluruh dan mengajak para Muslim yang lainnya untuk menyayangi sesama sendiri demi untuk menghapuskan pemikiran ekstremisme. Hal ini kerana mereka yang mempunyai pemikiran melampau ini boleh dikategorikan sebagai individu yang kurang kasih sayang kerana tidak menerima didikan yang sebenar hinggakan diri mereka terjebak dengan fahaman ekstremisme. 

Apabila bercakap mengenai ideologi keganasan, ia perlu ditangani dengan pendidikan bersifat kemanusiaan, pendidikan yang menekankan konsep kasih sayang dan saling menghormati. Tanpa kasih sayang dan kemanusiaan, seseorang itu mudah terpengaruh dengan ekstremisme yang akhirnya memusnahkan masyarakat. Jika seseorang itu tiada rasa kasih sayang dan cinta, mudah untuk mereka terpengaruh dengan konsep keganasan kerana mereka tidak sukakan diri mereka sendiri, tidak cintakan negara, masyarakat dan sesama manusia.

Friman Allah SWT:

“Katakanlah (hai Muhammad), ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu’. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (QS Ali Imran: 31)

Sebagai seorang Muslim yang sempurna akalnya, kita perlu menyingkirkan segera segala pemahaman ekstremisme di kalangan masyarakat dengan pendidikan agama secara formal dan tidak formal. Melalui cara itu, ia akan memberi kesedaran secara langsung kepada masyarakat betapa bahayanya fahaman ekstremisme yang diciptakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini untuk kepentingan diri mereka. 

Sumber: Berita Harian “Tangani keganasan dengan pendidikan kasih sayang, kemanusiaan” (15 Mei 2019)

Comments