SIFAT CINTAKAN TANAH AIR ADALAH TUNTUTAN AGAMA YANG PERLU DIPUPUK BAGI SETIAP INDIVIDU MUSLIM


Tahukah kita bahawa sifat cintakan tanah air dan negara juga merupakan salah satu daripada tuntutan agama? Ya benar, sifat cintakan tanah air merupakan salah sifat yang terpuji dan amat dituntut. Akan tetapi, agama melarang sifat ta’assub (fanatik) terhadap sesuatu bangsa atau kaum kerana agama ini bersifat rahmat kepada seluruh alam.

Bagi orang Islam, untuk benar-benar mencintai tanah air maka mereka perlu kembali kepada ajaran Islam.

Dengan menghayati ajaran agama maka ia dapat memberi petunjuk dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk mencintai, menghargai dunia dan bumi tempat tinggal mereka untuk beribadat. Ini kerana bumi tempat tinggal atau tanahair mereka itulah menjadi tempat untuk mereka beramal membuat kebajikan untuk hari kemudian.

Antara hadis-hadis yang menjadi dalil yang menunjukkan kecintaan baginda Rasulullah SAW terhadap tanah air adalah berdasarkan hadis yang berikut:

Daripada Ibn Abbas r.a. bahawa Nabi SAW berkata pada Makkah:

“Alangkah baiknya dirimu wahai Makkah dan betapa cintanya diriku terhadapmu, seandainya kaumku tidak mengeluarkanku darimu, nescaya aku tidak akan tinggal selain daripadamu.” (HR at-Tirmizi)

Dalam hadis yang lain:

"Dari sahabat Anas r.a bahawa Nabi SAW ketika berpergian, dan melihat dinding-dinding Madinah, beliau mempercepatkan untanya. Apabila beliau menunggani unta maka beliau menggerakkannya (mempercepat) kerana kecintaan beliau pada Madinah" (HR Bukhari, Ibnu Hibban, at-Tirmizi).

Dengan timbul rasa cinta kepada tanahair, maka warga negara akan terus memperjuangkan keamanan dan kemakmuran negara daripada anasir luar dan penjajahan tidak kira dalam bentuk fizikal atau pun juga dalam bentuk pemikiran. Hidup dengan menghormati dan menjaga hak-hak orang lain seperti hak individu, jiran, masyarakat kampung, bandar, dan warga negara keseluruhannya perlu dijaga agar tidak timbul unsur pergaduhan dan permusuhan yang boleh mengucar-kacirkan tanah air tercinta.


Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


 

Comments