AWAS. JANGAN TERPENGARUH DENGAN AJARAN AGAMA BARU YANG MENYESATKAN!!!SEKULARISME, LIBERALISME DAN PLURALISME ADALAH AJARAN BARU YANG BERCANGGAH DENGAN AJARAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

Ajaran sesat ruang lingkupnya amat luas sama ada sesat dari sudut kepercayaan atau akidah, sesat dari sudut pengamalan atau syariat dan sesat dari sudut akhlak atau pengabdian antara hamba bersama Tuhannya.

Ajaran sesat juga merujuk kepada sebarang ajaran yang didukungi oleh orang Islam atau bukan Islam sedangkan ia bertentangan dengan al-Quran, as-Sunnah, ijmak dan qias serta bercanggah dengan pegangan atau fatwa-fatwa Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah, syariah dan akhlak.

Dalam persoalan agama atau ajaran baharu yang diwujudkan dengan dakwaan bahawa semua agama adalah sama. Sama menurut mereka adalah sama dari sudut tujuan membawa manusia kepada mengenal, menyembah dan mengabdikan diri kepada Tuhan yang satu. Namun, ia sama sekali tidak sama malah bercanggah dengan ajaran Islam yang benar pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sama ada dari segi dasar kepercayaan (akidah), cara yang disyariatkan dalam melakukan ibadah dan juga dari aspek akhlak Islam yang benar. Dilihat secara kasar hanya dengan pertimbangan logik akal saja, kelihatan dakwaan mereka ini bagaikan benar kerana manusia memang memerlukan kepercayaan, pengamalan dan pengabdian.

Namun, adakah aspek kepercayaan, pengamalan dan pengabdian kepada Tuhan dalam Islam sama dengan agama-agama lain? Tidak sama sekali. Rukun-rukun Iman, Islam dan Ihsan yang wujud dalam agama Islam adalah jelas dan amat berbeza dengan agama-agama lain. Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam Surah Ali-Imran ayat 19 yang bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) disisi Allah ialah Islam”.

Sesungguhnya pada hari ini, cabaran akidah atau kepercayaan yang menyeleweng daripada Islam bukan lagi datang dengan nama-nama agama seperti Majusi, Hindu, Buddha atau Kristian. Ia datang dengan identiti yang lebih mengelirukan seperti sekularisme, liberalisme, pluralisme dan sebagainya. Fahaman dan ideologi seperti ini telah dikategorikan oleh mereka yang mengkaji dan mendalami bidang ini sebagai agama-agama baharu yang muncul pada abad ini.

Justeru itu, sebagai seorang Muslim yang cakna akan pegangan dan agamanya mestilah berhati-hati dalam mempercayai dan meyakini ideologi atau ajaran agama baharu yang wujud hari ini yang memang mengelirukan malah akan menyesatkan umat Islam itu sendiri. Dalam hal ini, umat Islam dinasihatkan supaya jangan mudah terpengaruh dengan ajaran agama baru ini dan berpegang teguhlah dengan ajaran Islam yang dijelaskan oleh ulama yang muktabar bukan mereka yang mengaku berilmu tetapi hanya menggunakan logik akal semata-mata. Sudah pasti para alim ulamak ialah mereka yang berkelayakan untuk kita rujuk dalam merungkaikan kekeliruan tersebut.

Sumber: Buku Ajaran Sesat: Merungkai Kekusutan & Kecelaruan, MAIS


 

Comments