AWAS!!JANGAN TERPENGARUH DENGAN SERUAN UNTUK MEMBELA PATANI KERANA DIBIMBANGI IA ADALAH PROVOKASI KUMPULAN MILITAN.
Konflik di Selatan Thailand antara
Orang Melayu Patani dengan kerajaan Siam telah berlaku sejak zaman pemerintahan
Raja Melayu Patani dahulu lagi (1500-1686). Kegagalan Kerajaan Siam
melaksanakan keadilan kepada penduduk Muslim di Selatan Thailand mencetuskan
pemberontakan di wilayah tersebut.
Sebagai contoh dalam satu kejadian
demonstrasi yang tercetus di Tak Bai pada 24 Oktober 2004. Peristiwa berdarah
itu tercetus selepas lebih 1000 penduduk mengadakan demonstrasi di luar Balai
Polis Tak Bai bagi membantah penahanan enam lelaki Muslim yang dituduh
membekalkan senjata kepada pihak pemberontak.
Demontrasi bertukar ganas selepas
tentera melepaskan gas pemedih mata dan meriam air yang berlaku pada bulan
Ramadan dan mengorbankan nyawa 85 penduduk Islam itu juga didorong oleh
faktor-faktor ketidakadilan terhadap identiti, politik, pendidikan dan
keselamatan orang Melayu Patani. Imej penduduk yang disusun bertindih antara
satu sama lain dalam trak tentera dengan tangan diikat di belakang mencetuskan
kemarahan global dan kumpulan hak asasi manusia.
Keputusan Kerajaan Siam memutuskan
untuk tidak menyalahkan mana-mana pihak telah mencetuskan kebangkitan semangat
dan pejuang Patani sehingga hari ini dengan satu matlamat iaitu membebaskan
bumi Patani sepenuhnya daripada terus ditindas. Pejuang Patani juga menganggap
bahawa perjuangan pembebasan Patani adalah perjuangan umat Islam dan menjadi
wajib diperjuangkan.
Terkini memperlihatkan trend-trend
semangat perjuangan Patani mula kembali semarak di laman-laman sosial oleh
rakyat Patani khususnya yang berada di Malaysia bagi mewakili perjuangan
kumpulan militan di negara tersebut. Apa yang dibimbangi adalah mereka yang
membuat provokasi dan propaganda tentang perjuangan masyarakat Islam di Selatan
Thailand tersebut mewakili suara kumpulan militan di Selatan Thailand atau yang
berada di negara ini yang cuba menggunakan isu di Selatan Thailand tersebut
untuk menyokong agenda militan mereka.
Berdasarkan doktrin yang tersebar
itu dikhuatiri rakyat Patani di Malaysia, bahkan orang-orang Islam di negara
ini turut bersemangat dan terpanggil untuk berjihad membela masyarakat Melayu
Patani dan agama Islam yang dizalimi oleh kerajaan Siam. Bukan itu sahaja,
malah dikhuatiri juga mereka menjadikan Malaysia sebagai platform untuk
pergerakan jihad di Selatan Thai dengan melakukan tindakan ganas seperti yang
dilakukan oleh kumpulan militan di negara itu sebelum ini. Hal ini bukan sahaja
akan membahayakan hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan Thailand, malah ia
akan mempengaruhi semangat jihad masyarakat Islam di sini untuk turut serta
berjihad di Selatan Thailand atau menyokong kumpulan militan yang berjuang
untuk melakukan tindakan keganasan di negara tersebut.
Walaupun gerakan ini masih tidak
terlihat secara terang di Malaysia, namun percayalah ideologi-ideologi yang
disampaikan melalui sosial media adalah ideologi militan yang bahaya dan perlu
dipantau dengan sebaiknya bagi mengelakkan kejadian pertumpahan darah di negara
jiran yang terdekat itu berulang kembali dan sekaligus ia juga akan memberi
ancaman kepada keselamatan negara ini.
Sumber: 'Konflik di Selatan
Thailand: Satu kajian dan analisis demonstrasi Takbai', Kertas Projek Sarjana
Sains Politik (2013), Universiti Sains Malaysia.
Comments
Post a Comment