GERAKAN ISLAM LIBERAL MENGIKTIRAF LGBT!!! SATU ANCAMAN TERHADAP AKIDAH UMAT ISLAM YANG SEMAKIN MEMBIMBANGKAN
Gerakan
mengiktiraf Lesbian, Gay, Biseksual & Transgender (LGBT) oleh golongan
liberal merupakan satu ancaman kepada masyarakat Islam di Malaysia. Aliran
pemikiran Islam liberal merupakan satu aliran pemikiran yang menghendaki kepada
keterbukaan dalam berijtihad yang melampaui batas-batas agama yang telah sedia
ada seperti mana di dalam al-Quran dan al-Sunnah.
Gerakan
Islam liberal seperti ini bukan sahaja mempromosikan fahaman songsang yang
dibawa, malah menyokong tindakan dan kelakuan LGBT supaya diiktiraf selari
dengan ajaran Islam. Hal ini boleh dilihat dalam kenyataan Penyelaras Lawyer
for Liberty (LFL), Zaid Malek yang menegaskan bahawa pengiktirafan dan
perlindungan untuk golongan LGBT yang beragama Islam bukan sahaja tidak
bertentangan dengan ajaran Islam malah melindungi mereka adalah mandatori di
bawah Perlembagaan Persekutuan.
Persoalannya,
sejak bilakah agama Islam mengiktiraf LGBT? Sedangkan Allah S.W.T telah
melaknat Kaum Nabi Luth di Kota Sadum yang melakukan perbuatan keji
(homoseksual) dan kemungkaran mendatangi sesama lelaki seperti seseorang
mendatangani isteri (liwat atau homoseksual) dan meninggalkan para wanita.
Sepatutnya
sebagai umat Islam, ambillah pengajaran daripada kisah ini melalui firman Allah
dalam Surah Hud ayat 82-83, dimana disebabkan perbuatan keji Kaum Nabi Luth,
Kota Sadum itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan
dihujani dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.
Oleh
sebab itu, walaupun LFL mendesak kerajaan untuk mengikut jejak langkah negara
Islam yang lain seperti Mesir, Iran dan Pakistan yang mengiktiraf golongan
LGBT, namun kerajaan Malaysia tetap tegas menolak gerakan fahaman liberal yang
berusaha menghapuskan hukuman sivil dan syariah membabitkan kegiatan golongan
LGBT.
Justeru
itu, kita sama-sama bertanggungjawab untuk memainkan peranan membimbing
golongan LGBT ini menjalani kehidupan lebih sejahtera, selari dengan tuntutan
agama, adat dan budaya setempat masyarakat. Apa yang perlu kita ketahui adalah
pemikiran liberal dalam isu LGBT boleh merosakkan akidah umat Islam iaitu
mengagungkan akal berbanding wahyu. Maka fahaman ini terbukti menyeleweng
daripada manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah yang perlu dibendung segera daripada
terus mempengaruhi dan menyesatkan masyarakat Islam yang semakin jauh dari
pegangan agama.
Sumber:
Kertas Seminar Kefahaman Akidah dan Pemikiran Semasa, 2019; Bayan Linnas Siri
ke-171; dan Berita Harian, 29 November 2018.
Comments
Post a Comment