HIKMAH DI SEBALIK PKP (COVID-19) BERSATU-PADULAH DAN SALING MEMBANTU DALAM MENGHADAPI UJIAN ALLAH

Jika kita lihat situasi pada hari ini, ia seakan menjadi tekanan buat kita semua. Bukan hanya kepada rakyat Malaysia, tetapi juga kepada umat manusia di seluruh dunia. Serangan virus COVID-19 yang tidak berkesudahan ini memaksa kita untuk hidup dalam norma baharu yang serba terbatas apatah lagi dengan pelaksanaan pelbagai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Kerajaan meragut kebebasan kita sebagai manusia. Ini menyebabkan sebilangan besar daripada kita mula merasa tidak selesa sehingga ada yang sanggup melanggar undang-undang yang ditetapkan.

Firman Allah SWT:

“…dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (QS al-Baqarah: 216)

Ya, memang hakikatnya kita tidak akan pernah menyukai keadaan seperti ini berlaku dalam tempoh yang lama. Tapi pernahkah kita terfikir hikmah di sebalik kejadian ini? Lihat bagaimana seluruh rakyat negara ini berganding bahu dan bersatu-padu dan saling membantu dalam semua hal bagi mewujudkan sebuah keadaan yang kondusif dalam norma baharu demi keharmonian Malaysia. Sebagai umat Islam, kita wajib menyokong apa juga usaha untuk menyatu padukan ummah atas dasar akidah dan perikemanusiaan serta wajib mendahulukan sangkaan baik kepada perpaduan ini. Janganlah meletakkan andaian atau terlajak berani memberikan andaian buruk sedangkan hati seluruh umat manusia hanya mampu dijinakkan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT:

“Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (QS Al Anfaal: 63)

Untuk waktu ini, kita semua haruslah belajar untuk menerima ketetapan dari Allah SWT. Inilah masanya untuk kita mengeratkan lagi ukhwah dan perpaduan sesama kita serta saling memudahkan antara satu sama lain.

Umat Islam dianjurkan untuk saling tolong menolong dan memudahkan urusan orang lain. Dengan demikian, Allah akan melepaskan dirinya dari satu kesusahan pada hari kiamat kelak, serta akan memudahkannya di dunia dan akhirat.

Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat" (HR Muslim).

Oleh itu, marilah kita bersatu padu, saling tolong bantu antara kita dalam menghadapi ujian Allah ini. Kalau bukan kita siapa lagi? Kalau bukan sekarang bila lagi? Ambillah masa yang ada ini untuk bersatu-padu dan mengukuhkan lagi perpaduan demi keselamatan dan kesejahteraan negara.

Sumber: Berita Harian “Bersatu kerana akidah jalan menuju syurga” (4 Oktober 2019)


 

Comments