HINDARI PERMUSUHAN KERANA SIKAP BERMUSUHAN AMAT DIBENCI ALLAH

Islam bukan saja melarang umatnya mencaci dan memaki-hamun, tetapi turut mengharamkan sebarang tindakan yang boleh membawa kepada bibit-bibit perbuatan itu seperti mengejek atau menyindir. Kehidupan moden pada hari ini menyaksikan banyak perilaku bertentangan amalan dan etika sosial apabila timbul pelbagai perbuatan menyeleweng daripada landasan dibenarkan agama. Perkara itu berlaku kerana terkeliru dengan budaya dan nilai hidup. Apa saja perbuatan mencetuskan perbalahan, ia tetap dihukum haram.

Daripada Aisyah RA berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesungguhnya orang yang paling dibenci Allah ialah orang yang paling kuat bermusuhan.” (HR Muslim: 2668) 

Allah SWT mengingatkan, sebarang perilaku yang boleh menyakiti orang mukmin tanpa kesalahan yang mereka lakukan boleh menyebabkan seseorang itu berdosa dan dilaknat Allah. Islam juga mengajarkan kita supaya mengelakkan diri daripada saling benci membenci, berhasad dengki dan saling belakang membelakangi antara satu sama lain kerana semua perbuatan tersebut akan membawa kepada pintu kejahatan yang amat banyak sekali sehingga boleh menimbulkan permusuhan dan pergaduhan di dalam sesebuah masyarakat.

Oleh itu, mari kita tanamkan sifat bertolak ansur dan saling menyayangi di antara satu sama lain kerana dengan adanya sikap tersebut, tiadalah kepincangan di dalam masyarakat dan ukhwah yang dibina di antara satu sama lain semakin erat dan bertambah utuh.

Memang tidak dapat dinafikan, perselisihan faham dan keterlanjuran kata itu selalunya sukar untuk dielakkan dan sekiranya berlaku juga, Islam mengajar kita agar berusaha memperbaiki hubungan yang telah tercalar tersebut dalam tempoh tiga hari kerana membenci dan bermasam muka itu adalah perbuatan yang dilarang serta tidak diredhai Allah dan RasulNya.

Sumber: Laman Web UTM (people@utm) dan Harian Metro “Mencegah permusuhan” (22 Januari 2019)

 


 

Comments