Masyarakat yang baik adalah masyarakat yang saling hidup dengan aman dan
harmoni meskipun berkongsi kehidupan dengan orang bukan Islam. Oleh itu,
perpaduan adalah syarat utama untuk menjamin keharmonian sesebuah masyarakat.
Allah SWT berfirman:
“Dan berpegang teguhlah dengan tali Allah (ajaran dan panduan daripada
Allah) dan janganlah kamu berpecah-belah.” (QS Ali Imran: 103)
Sementara itu, salah satu faktor terbesar yang boleh menyebabkan rosaknya
peradaban bangsa dan negara adalah perpecahan yang berpanjangan. Bahkan
kebinasaan umat Islam terdahulu juga adalah disebabkan mereka berpecah belah.
Rasulullah SAW bersabda:
"Janganlah kamu berselisih faham kerana umat terdahulu telah binasa
disebabkan berselisih faham" (HR Ahmad).
Umat Islam di negara ini harus bersedia dari semua aspek dalam
mengukuhkan sebuah perpaduan kerana di zaman teknologi serba canggih ini,
terdapat banyak anasir-anasir yang cuba memecahbelahkan perpaduan di antara
kita sesama sendiri mahupun dengan bangsa-bangsa yang lain. Kita adalah suara
majoriti dan sepatutnya kita mempunyai usaha yang kuat untuk meneguhkan ikatan
perpaduan ini demi sebuah negara aman dan harmoni.
Dalam perkara ini, mengambil kira ayat dan hadis di atas, umat Islam
wajib meyakini Allah SWT tidak memerintahkan manusia untuk melakukan sesuatu
perkara yang jelek melainkan saling berkasih-sayang, tolong-menolong dan
hormat-menghormati bagi menyelamatkan manusia daripada sebarang kebinasaan dan
kehancuran. Antara dua perkara yang wajib dilakukan oleh umat Islam demi
kebaikan bersama adalah:
- Mengadakan usaha
untuk mengukuhkan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat dan negara.
- Mengelakkan perkara
atau perbuatan yang boleh menjejaskan keharmonian dan keselamatan negara.
Perpaduan adalah pokok bagi semua perkara yang berkaitan dengan
kesejahteraan dan keselamatan masyarakat serta negara agar benar-benar
terjamin. Jika perpecahan masih menjadi pilihan, ia akan mencetuskan lagi
suasana tidak aman dan huru-hara hingga membantutkan pembangunan bangsa dan
negara. Lihat sahaja negara-negara Timur Tengah yang semakin bergolak hari demi
hari, ia berikutan tiada persefahaman di kalangan rakyatnya dan mereka lebih
rela untuk mengendalikan negara mereka dengan cara berpecah-belah atau
berpuak-puak (asabiyyah).
Ingatlah, tiada guna kita berpecah-belah, sebaliknya kita harus teguhkan
perpaduan dan bersatu padu demi kesejahteraan semua. Negara kita mempunyai
kepelbagaian diversiti yang harus kita pelihara. Jadi, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk
menjaga dan memeliharanya agar tidak diracuni oleh dakyah-dakyah subversif yang
keterlaluan hingga menggugat keamananan sebuah negara yang penuh harmoni.
Sumber: Harian Metro “tiada manfaat kita berpecah-belah” (10 Mei 2018).
Comments
Post a Comment