Jika kita bicara soal tolong-menolong sesama Muslim, ada banyak kriteria yang boleh dikembangkan. Bukan sahaja tolong-menolong dari segi menghulurkan bantuan, tetapi mendidik, menjaga dan memelihara keamanan dan keselamatan serta keharmonian hubungan persaudaraan sesama Muslim juga boleh dianggap sebagai satu sikap tolong-menolong.
Firman Allah SWT:
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat berat siksaan-Nya.” (QS al-Maidah: 2)
Dalam memberi pertolongan, kita haruslah mengikhlaskan diri kita dan berniat perbuatan itu kerana Allah SWT. Jangan sesekali kita menghulurkan bantuan dengan rasa amarah dan terpaksa kerana Allah tidak menyukai sifat begitu. Ada banyak perkara yang boleh dinilai sebagai pertolongan. Antaranya adalah dalam memberi ilmu agama kepada golongan yang mencari-cari ilmu agama yang sebenar. Selain itu, menjaga hubungan silaturahim, menyelesaikan masalah sesama Muslim serta menjalinkan semula hubungan ukhwah sesama saudara Islam juga boleh dikira sebagai tolong-menolong.
Maksud tolong-menolong ini sangat universal dan tidak tertakluk kepada satu perkara sahaja iaitu melalui pemberian. Tolong menolong merupakan kebiasaan mulia yang harus kita bangunkan sebagai bentuk kepedulian terhadap sesama manusia dan ia merupakan salah satu ciri khas dalam budaya Islam. Malah Rasulullah SAW bersabda:
“Allah akan menolong seorang hambaNya, selama hamba itu sentiasa menolong saudaranya.” (HR Muslim)
Nampak bukan? Betapa besarnya darjat orang yang menghulurkan bantuan sesama Muslim sehinggakan Rasulullah SAW sendiri memberi jaminan bahawa Allah SWT akan menolong setiap hambaNya yang menolong saudara seagama. Maka dengan itu, janganlah sama sekali sangsi untuk menghulurkan bantuan sesama Muslim kerana ganjaran daripada Allah SWT itu pasti ada.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan laman web Mutiara Islam.net
Comments
Post a Comment