PROPAGANDA DAN AKTIVITI TERORIS TIDAK PERNAH BERHENTI MESKIPUN DUNIA DI TENGAH PANDEMIK COVID 19. BERHATI-HATILAH!!!


 


Penularan wabak COVID 19 gelombang ketiga yang berlaku diseluruh dunia kini memperlihatkan reaksi yang berbeza dikalangan kumpulan-kumpulan teroris.

Kumpulan pengganas tradisional seperti Daesh dan al-Qaeda ada yang melihat penularan wabak merbahaya ini sebagai satu kesempatan yang perlu dimanfaatkan untuk   menyebar propaganda, naratif perjuangan, merekrut anggota, mendapatkan dana untuk tujuan keganasan, malah turut melakukan aktiviti keganasan. Jika dilihat negara jiran terdekat, Indonesia, lebih 100 orang yang dilibatkan dengan kegiatan dan menjadi anggota kumpulan teroris telah ditangkap sejak wabak covid-19 ni berlaku. 

Kumpulan teroris ini juga menggunakan kesempatan untuk menyebar propaganda perjuangan mereka melalui media sosial. Sebagai contoh, kumpulan teroris di Indonesia menyebarkan video yang berdurasi satu minit dengan menyebut "thoghut akan jatuh dan tersungkur dengan virus corona, dengan peperangan ini. InsyaAllah dalam waktu terdekat". Mereka juga menyebar propaganda untuk mempengaruhi masyarakat. Mereka menyebarkan propaganda bahawa wabak covid-19 ini adalah sebagai hukuman kepada orang bukan Islam dan orang Islam yang tidak beriman seperti negara-negara Islam yang tidak menjalankan urusan negara berpandukan Islam seperti menyokong sistem demokrasi, mengagongkan fahaman liberal dan sebagainya.

Di Malaysia meskipun penyebaran propaganda kumpulan teroris melalui media sosial tidak terlalu ketara dan masih terkawal, namun kumpulan radikal seperti Hizbut Tahrir turut juga mengambil kesempatan melalui pademik COVID 19 ini. Gerakan Hizbut Tahrir mengeluarkan artikel provokasi yang bertajuk ‘Corona virus dan Keruntuhan Tatacara Dunia’. Artikel ini telah mengkritik Barat khususnya Amerika Syarikat yang berpegang kepada sistem kapitalis dan Rusia yang menggunakan sistem sosialis sebagai penghalang kepada penubuhan Khilafah Islamiyah dan memberi implikasi kepada kejatuhan buruk terhadap aspek ekonomi dan kewangan dunia.

Hizbut Tahrir juga mempersoalkan solat jumaat yang tidak ditunaikan kerana saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ekoran wabak COVID 19. Mereka memuat turun pendapat Amir Hizbut Tahrir, Syeikh Atha’ Abu ar-Rasytah, yang memberi fatwa bahawa solat jumaat tetap wajib ditunaikan walaupun dalam keadaan wabak. Hujah agama yang digunakan oleh Hizbut Tahrir ini akan mengelirukan umat Islam kerana mereka menggalakkan orang awam untuk mengingkari arahan pemerintah.

Pandangan dan fatwa sempit sebegini akan mencetuskan kekeliruan dan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat umum. Implikasinya bukan sahaja melibatkan pelanggaran PKP malah mungkin akan mencetuskan kluster COVID 19 yang baru.

Dengan insiden keganasan yang timbul seperti dinyatakan jelas memberi petunjuk bahawa ancaman keganasan masih terus berlaku di musim Covid-19. Rangkaian kumpulan teroris jelas hanya memanipulasikan Islam dan jihad demi mencapai objektif dan hawa nafsu politik kumpulan mereka sehingga mengorbankan nyawa yang tidak bersalah, menggadaikan anggota sendiri malah mengancam keselamatan negara yang didiami.

Sumber: Terrorisme Observer, 2 November 2020.

Comments