Islam adalah salah satu sistem hidup yang bersifat Rabbani dan menganjurkan kepada manusia agar sentiasa berlaku adil dalam setiap tindakan yang diambil. Namun, ada sebilangan masyarakat menganggap Islam ini ganas dan sering dikaitkan sebagai punca kepada tindakan keganasan individu-individu tertentu yang menggunakan agama sebagai justifikasi kepada tindakan mereka. Akibat dari ini, timbullah pula tindak balas secara gelojoh dari masyarakat bukan Islam kerana membalas dendam dan bencikan orang Islam. Mereka menganggap orang Islam sebagai pengganas atau Islam itu sendiri sebagai agama yang membawa keganasan. Inilah yang dinamakan Islamofobia (ketakutan dan dendam kepada Islam) yang berlaku terutamanya di negara Barat.
Sedangkan Islam itu sendiri mengajar pengikutnya berbuat baik kepada semua manusia meskipun berbeza agama, bangsa, keturunan dan budaya. Agama Islam sentiasa menganjurkan kebaikan dan kedamaian. Agama Islam mewajibkan umatnya agar memiliki dan mempraktikkan sikap toleransi dalam menyingkapi perbezaan antara manusia. Kepelbagaian masyarakat memang fitrah manusia yang ditentukan oleh Allah dan Allah memerintahkan umat manusia supaya saling kenal mengenal dan tidak saling bermusuhan supaya masyarakat hidup dalam keadaan harmoni dan aman meskipun dalam kepelbagaian agama, bangsa, keturunan dan adat resam.
Allah SWT berfirman:
"Wahai manusia, sesungguhnya Kami mencipta mu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling takwa di antara kamu..." (QS al-Hujurat:13).
Sedangkan salah satu sifat orang bertakwa ialah sentiasa berusaha untuk tidak menyakiti hati orang lain dan sentiasa berbuat kebaikan agar sentiasa mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya orang yang paling dibenci oleh Allah SWT adalah orang yang suka berselisih dan suka bergaduh" (HR Abu Daud).
Oleh itu,Islam seharusnya
diketengahkan sebagai pembawa keamanan. Nilai-nilai yang dibawa oleh Islam
sebenarnya menjurus kepada perkara-perkara baik yang bertujuan untuk
meningkatkan kualiti hidup manusia. Allah SWT menjadikan nikmat ini sebagai
medium untuk kita berfikir dan mengambil iktibar agar dengannya dapat
meningkatkan keimanan kita kepada Allah SWT. Keamanan bererti kita bebas dari
segala bentuk ancaman yang menggugat keharmonian.
Dengan keamanan, keselamatan akan terus terpelihara, keharmonian terbina dan yang paling utama agama Islam pasti akan terus dilindungi. Keamanan adalah asas utama dalam usaha untuk menegakkan agama Islam, memaju dan memakmurkan sesebuah negara.
Sumber: Institut
Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah
(JHEAINS)
Comments
Post a Comment