BERAKHLAK MULIA ADALAH KUNCI KEBAHAGIAAN DUNIA DAN AKHIRAT

 


Akhlak mulia merupakan kunci kepada segala kebaikan, malah ianya penting dalam membina kehidupan beragama, bermasyarakat dan bernegara. Perlu kita ketahui bahawa segala permasalahan yang berlaku pada hari ini adalah disebabkan kerosakan-kerosakan yang berkaitan dengan permasalahan akhlak. Oleh yang demikian, akhlak yang terpuji hendaklah ada dalam diri setiap individu dalam setiap masa dan keadaan. Malah, Imam al Hassan al Basri turut mendefinisikan akhlak yang terpuji dengan kenyataan “akhlak terpuji adalah wajah yang berseri-seri, penuh kemurahan hati dan menahan diri daripada menyakiti orang lain”.

Sabda Rasulullah SAW:

“Hamba yang paling dicintai Allah subhanahu wa ta’ala adalah yang paling baik akhlaknya.” (HR at- Thabrani)

Bukanlah suatu yang berlebihan jika dikatakan semua kebajikan bersumber daripada akhlak yang mulia, kerana orang yang mempunyai akhlak mulia akan sentiasa berusaha melakukan perbuatan baik yang bermanfaat dan dalam waktu yang sama meninggalkan perbuatan tercela yang merugikan. Dengan cara ini orang beriman akan mendapat kebahagiaan di dunia dan memperoleh kemenangan di akhirat. Hal ini kerana Islam telah menjanjikan orang yang berakhlak mulia akan dikurniakan oleh Allah SWT dengan pahala yang banyak. Dengan berakhlak mulia dan bertakwa, seseorang akan mudah menuju ke pintu syurga. 

Rasulullah SAW bersabda:

"Sesungguhnya sesuatu yang paling utama dalam mizan (timbangan) pada hari Kiamat adalah akhlak yang baik" (HR Ahmad).

Hubungan menyeluruh antara keimanan dan akhlak mulia sangat erat. Apabila seseorang mempunyai akhlak yang baik, maka itu menandakan keimanannya sempurna. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang mempunyai akhlak mulia dan orang-orang yang terpilih di antara kamu ialah mereka yang baik pergaulan serta hubungannya dengan isteri-isteri mereka.” (HR Ahmad)

Sementara itu dalam satu hadis yang lain Abu Hurairah meriwayatkan bahawa suatu ketika Rasulullah SAW pernah ditanya tentang kriteria orang yang paling ramai mendapat balasan syurga. Baginda Rasulullah SAW menjawab:

"Takwa kepada Allah dan akhkak yang baik" (HR at-Tarmizi dan Ahmad).

Justeru, sebagai umat Islam kita hendaklah sentiasa mengekalkan akhlak yang mulia sebagaimana yang diajarkan oleh agama agar kita beroleh rahmat darinya. Orang yang mukanya kelihatan cerah dan ceria, selalu menahan diri agar ucapan dan tindakannya tidak menyakiti orang lain dan selalu berusaha memberikan kemaafan kepada orang lain adalah orang yang mulia di sisi Allah SWT.

Sumber: Laman Web Pelita Brunei (http://pelitabrunei.gov.bn)

Comments