BERHATI-HATI DALAM MEMILIH SAHABAT KERANA SAHABAT YANG BAIK AKAN MEMBAWA KE JALAN YANG BENAR



Memilih sahabat yang baik adalah penting kerana sahabat adalah antara faktur yang mampu mencorakkan kehidupan kita. Oleh itu, memilih sahabat yang baik adalah sesuatu yang tidak boleh dianggap remeh kerana sahabat yang baik akan membawa kita je jalan yang baik,  meredakan kesedihan, menghilangkan kebimbangan malah sanggup berjuang demi kebaikan kita. Betapa pentingnya memilih sahabat yang baik sehinggakan baginda Rasulullah SAW menyebut dalam hadisnya yang berikut.

Rasulullah SAW bersabda: 

“Perumpamaan orang yang bersahabat dengan orang soleh dan orang yang bersahabat dengan orang buruk perangai seperti penjual minyak wangi dan tukang kimpal besi. Pasti engkau akan dapat bauan wangi dari penjual minyak wangi samada membeli atau tidak. Sedangkan dari tukang besi kamu akan merasa bahang atau kain mu atau kamu akan mendapatkan bau yang tidak sedap”. (HR Bukhari: 1959)

Sudah menjadi lumrah manusia untuk hidup saling berukun dan bersahabat. Namun, sering terkhilaf dalam memilih persahabatan yang benar. Hidup bermasyarakat ini saling memerlukan teman ataupun sahabat yang sentiasa tolong-menolong untuk menyempurnakan kehidupan. Hadis di atas menyeru kita untuk sentiasa bergaul dengan orang yang soleh dan baik. Diibaratkan bahawa orang yang soleh dan baik ini bak minyak wangi yang harum, sekiranya kita mendekati maka kita juga akan mendapat harum baunya.

Manakala, jika kita bersahabat dengan golongan pendosa, mereka ini diibaratkan sebagai tukang besi yang akan menyebabkan kita terjebak ke lembah maksiat dan ini dianggap sebagai membakar bajumu dan mendapat bau yang tidak sedap. Dalam perkara ini, harus kita ingat bahawa kita hendaklah sentiasa berhati-hati dalam memilih sahabat. Sahabat yang baik akan membawa kita ke jalan yang benar dan diredhai Allah. Sementara sahabat yang jahil, akan menjadikan diri kita sebagai orang yang tercela dan jelek di mata orang lain.

Hadis di atas jelas dan nyata tentang peringatan daripada Rasulullah SAW mengenai kelebihan duduk bersama orang yang soleh, baik, mulia akhlaknya, warak dan ahli ilmu. Bergaul dengan orang yang mempunyai ciri-ciri seperti ini dapat mengelakkan diri kita dari terjerumus ke dalam lembah dosa dan maksiat serta terjebak dalam fahaman ajaran sesat yang semakin berluasa sekarang ini. Akan tetapi, jika kita memilih sebaliknya, bersiap-sedialah untuk menghadapi azab daripada Allah SWT di hari akhirat kelak. Carilah orang yang soleh dan berakhlak mulia sebagai teman dan sahabat untuk kita bersama kita, mudah-mudahan kita juga tergolong dalam kelompok orang-orang yang beriman.

Sumber: Koleksi Hadis (Jimaain Safar, UTM) https://people.utm.my/ajmain/2017/12/12


 

Comments