BERHATI-HATI DENGAN APLIKASI SUGARBOOK!!! IA SATU STRATEGI GERAKAN LIBERALISME UNTUK MEROSAKKAN AKIDAH UMAT ISLAM DI NEGARA INI

Terkini Malaysia dihangat dengan isu kemunculan aplikasi atas talian iaitu Sugarbook yang menawarkan perkhidmatan seks bebas atau pelacuran kelas tinggi yang dinamakan Sugar Daddies, Sugar Babies dan Sugar Mummies.

Apa yang lebih mengejutkan bukanlah kerana negara Malaysia tersenarai antara tiga negara yang teratas menggunakan aplikasi tersebut kerana pengasasnya juga adalah orang Malaysia, namun kebanyakan pengguna aplikasi tersebut merupakan mereka yang berbangsa Melayu Islam. Lebih mengejutkan lagi ialah apabila ramai golongan terlibat sama ada lelaki atau perempuan adalah mereka yang berpendidikan dan yang sedang menuntut di IPTA dan IPTS.

Apa yang perlu diberi perhatian di sini bukanlah berkenaan dengan aplikasi tersebut, namun yang perlu dilihat adalah tentang bahayanya fenomena songsang ini. Apa yang berlaku sekarang ini seolah-olah menyerupai  apa yang berlaku di negara-negara Barat yang mengamalkan seks secara bebas tanpa dibatasi atau dikawal oleh batasan agama.  Lebih menyedihkan dan membimbangkan apabila mereka yang terlibat kebanyakannya adalah terdiri daripada perempuan atau lelaki Melayu yang beragama Islam. Kenapa perkara ini boleh berlaku?

Hal ini menunjukkan bahawa pengaruh pemikiran liberal, dengan konsep ingin hidup bebas yang mengenepikan batas-batas agama dan pemahaman yang tidak mempunyai kepercayaan terhadap tuhan (atheisme) semakin berleluasa di Malaysia. Perkara ini memang benar-benar membimbangkan kerana ia melibatkan generasi muda dan mereka yang berpendidikan tinggi yang diharapkan akan mencorakkan kehidupan generasi akan datang di negara ini.

Hal ini juga menunjukkan gerakan terancang untuk menghancurkan akidah umat Islam semakin ketara. Disebabkan kesempitan hidup dan desakan orang sekeliling, agama ditolak tepi demi mengejar kemewahan dan impian. Sebagai umat Islam seharusnya sudah mengetahui bahawa matlamat tidak menghalalkan cara. 

Namun, apabila sudah terpengaruh dengan fahaman liberal dan disebabkan kejahilan dalam agama, mereka amat mudah dipengaruhi oleh gerakan liberal dan atheis untuk melakukan perbuatan maksiat yang amat keji semata-mata ingin bebas dan inginkan keseronokan dunia. Bagi mereka yang terpengaruh, mereka ingin bebas untuk melakukan apa sahaja meskipun bertentangan dengan syariat dan merupakan satu dosa besar yang boleh membawa kekufuran. Namun, disebab pengaruh liberalisme dan atheis, mereka menganggap budaya dan ketetapan yang diamalkan dalam  agama hanyalah sekadar kepercayaan kepada agama semata-mata yang mereka tidak perlu terikat degannya. Inilah bahaya liberalisme atau Islam Liberal yang sedang mempengaruhi masyarakat Islam hari ini.

Bahkan pemikiran Islam Liberal mendakwa bahawa umat Islam hari ini terbelenggu dengan Islam yang didominasi dan diwarisi oleh bangsa Arab. Mereka dihinggapi oleh sindrom 'Syariah-minded Muslims' yang sentiasa menekankan bahawa undang-undang itu adalah jiwa atau inti kepada Islam. Oleh itu, sangat tepat untuk dikatakan bahawa Islam Liberal merupakan suatu bentuk ancaman yang bertujuan untuk mengembalikan semula modenisme Islam pada abad ke-21.

Ancaman ini dilihat lebih berbahaya berbanding dakyah Kristian, Hindu dan sebagainya kerana ia datang daripada kalangan umat Islam sendiri. Bukan itu sahaja, ia juga menjadi ancaman bahaya apabila pemikiran fahaman liberal yang turut mempengaruhi cendiakawan Melayu Islam dan mereka yang pernah mempunyai kedudukan dalam perkhidmatan kerajaan. Mereka menggelar diri dengan kumpulan G25 dan mewarisi sifat dan semangat pemikiran sekularisme peninggalan penjajah British.  

Oleh itu, selain pihak-pihak berwajib perlu mengambil serius dan tindakan terhadap perkara ini, masyarakat juga perlu menentang segala jenis maksiat serta kemungkaran berlaku kerana kita  tidak akan membiarkan golongan yang mempromosikan gaya hidup bebas dan liberal bermaharajalela di negara yang kita cintai ini.

Sumber: Jurnal Pengaruh Islam Liberal Terhadap Masyarakat Islam di Malaysia, Berita Harian- 16 Februari 2021

Comments