BERHATI-HATILAH DENGAN AJARAN SESAT YANG SEMAKIN BERLELUASA!!! BENTENGI DIRI DENGAN MENUNTUT ILMU AGAMA YANG BENAR DAN MENGAMALKANNYA

 


Dunia permodenan tidak membataskan masyarakat untuk terus menimbulkan kekeliruan terhadap kebenaran syariat Islam dengan membawa dan memperkenalkan kepada masyarakat ajaran-ajaran yang menyeleweng dari akidah Islam. Keadaan ini telah menyebabkan berlakunya beberapa perubahan negatif terhadap kepercayaan, sikap dan amalan pengikut-pengikut ajaran terbabit.


Kebanyakan ajaran sesat di Malaysia telah bergerak  secara serampang dua mata iaitu bercampur aduk antara amalan tasawuf dan konsep sufi yang bertentangan dengan syariat Islam atau amalan kebatinan dan 'wahdatul wujud' (penyatuan diri dengan Allah) serta amalan kebatinan yang menyesatkan yang dipenuhi dengan amalan syirik, tahayul dan khurafat. Ianya juga melibatkan amalan perbomohan yang menggunakan ‘helah agama’ untuk kepentingan diri pengamalnya.


Meskipun implikasi daripada penglibatan diri dengan ajaran sesat adalah besar dari segi akidah, namun ramai dalam kalangan umat Islam tetap melibatkan diri dengan gejala ini. Ini kerana golongan pengamal ajaran sesat kerap menggunakan taktik sebagai ‘umpan’ untuk mendapatkan pengaruh dalam kalangan masyarakat.


Antaranya ialah jaminan sesuatu ajaran tersebut boleh mendatangkan manfaat duniawi dan ukhrawi, manfaat kesenangan akhirat dikaitkan dengan balasan syurga, manfaat duniawi dikaitkan dengan kesenangan harta, pangkat dan keseronokan seperti kegiatan seks dan sebagainya. Sikap ‘tok guru’ yang mengasah pemikiran pengikutnya supaya taat dan mengagungkannya juga menyebabkan mereka terperangkap dengan gejala ini dan sukar meninggalkan ajaran sesat kerana dikhuatiri derhaka terhadap ‘tok guru’.


Walaupun terdapat usaha menyekat ajaran-ajaran sesat ini dijalankan secara tegas dan bersepadu, namun pada umumnya ajaran ini terus ada pengikut dan penyokongnya. Justeru itu, umat Islam diharapkan bersama-sama dengan pihak berkuasa berganding bahu untuk membanteras apa jua bentuk ajaran sesat atau kumpulan yang menyelewengkan akidah umat Islam.


Pengetahuan ilmu agama yang mantap dan mengamalkan tuntutan ilmu agama yang dipelajari serta memiliki jati diri yang teguh dapat mengelakkan individu daripada terjebak dan terpengaruh dengan ajaran sesat ini.


Sumber: Majlis Agama Islam Selangor

Comments