BERWASPADALAH DENGAN AJARAN SESAT!! IA MEROSAKAN AKIDAH DAN BOLEH MENYEBABKAN SESEORANG MENJADI MURTAD

Majoriti umat Islam di Malaysia adalah berbangsa Melayu dan berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah sama ada dari aspek akidah (merujuk kepada aliran Asha’irah), dari aspek fikah (merujuk kepada mazhab syafie) dan dari aspek tasawuf (merujuk kepada tokoh muktabar seperti al-Ghazali). Namun, ramai juga masyarakat umat Islam yang terpengaruh dengan ajaran sesat yang memang bercanggah dengan ajaran Islam yang benar. 

Di Malaysia, terdapat tiga kategori utama ajaran sesat iaitu ajaran sesat bentuk ajaran baru, ajaran sesat bentuk tarikat dan ajaran sesat yang dikaitkan dengan amalan syirik, khurafat, mistik serta kepercayaan yang karut marut.

Ajaran sesat ajaran baru ini boleh berlaku sama ada fahaman berbentuk tradisi seperti fahaman zindik yang mempunyai ajaran Tuhan yang menyatu dalam diri. Contohnya ajaran fahaman 'wahdatul wujud' yang menyalahi konsep keesaan Allah SWT. Bahkan lebih teruk, ada gurunya yang mengaku Tuhan atau Nabi atau menerima wahyu daripada Allah. Sementara kepercayaan ajaran baru yang moden adalah seperti sekularisme, pluralisme, liberalisme dan lain-lain.

Ajaran sesat tarikat adalah ajaran yang berselindung di sebalik ajaran tarikat yang terkenal seperti ajaran tarikat Ahmadiyah, Naqsyabandiyah, Syattariyyah dan lain-lain, tetapi telah diseleweng dengan amalan-amalan yang terang-terang bercanggah dengan syarak malah bercanggah dengan akidah. Contohnya ajaran Al-Arqam, ajaran tarikat Naqsyabandiyah (yang telah dipesongkan) dan lain-lain kumpulan tarikat yang mengamalkan amalan yang pelik-pelik yang bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam sama ada dari segi akidah mahupun ibadah.
 
Ajaran sesat jenis mistik dan kepercayaan karut adalah ajaran melalui kepercayaan dan amalan tradisi yang dipenuhi dengan kepercayaan karut, khurafat, bid'ah, tahyul dan syirik. Ia banyak berkait dengan amalan yang direka-reka atau khayalan, pembomohan, pemujaan, menjalankan upacara tertentu dalam hal ibadah, amalan-amalan tertentu yang pelik-pelik dan berbagai kepercayaan yang tidak ada sama sekali kebenarannya dari Al-Quran, Sunnah mahupun ajaran ulama yang benar. Ia banyak berkait dengan upacara yang dipengaruhi oleh agama Hindu, Budha, animisme dan dinamisme. Contoh ajaran ini termasuk ajaran Tuhan Haron, ajaran Ayah Pin, ajaran Ismail anak Rimau dan lain-lain termasuk juga ajaran sesat yang terbaru iaitu satu ajaran yang dikesan yang disebarkan oleh seorang yang bernama Ibu Yati di Facebooknya iaitu ajaran Agama Melayu. Ajaran Agama Melayu ini mempercayai sesuatu yang pelik-pelik, tak masuk akal dan bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam. Umpamanya percaya bahawa agama Islam yang benar adalah ajaran Agama Melayu. Agama Islam yang ada sekarang adalah agama orang Arab. Agama Melayu diturunkan sebelum wujud Nabi Adam lagi dan berbagai-bagai kesesatan lain yg memang boleh menyebabkan seseorang yang berpegang kepada ajaran tersebut akan jatuh kufur dan murtad (ulasan tentang kesesatan ajaran Agama Melayu oleh Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin boleh dilihat di youtube di bawah tajuk "Laporan Khas AWANI: Jahil atau Kesesatan Terpilih?"). 

Dengan adanya fatwa yang lengkap tentang ajaran-ajaran menyeleweng yang telah wujud di negara kita, maka sudah tentu jangkaannya ialah ajaran berkenaan akan berakhir, pengikutnya akan sedar dan kembali ke pangkal jalan, fatwa akan berupaya menjadi garis panduan dan sempadan kepada orang lain yang sedar tentang pengharamannya. 

Namun hakikatnya tinggalan ajaran berkenaan didapati masih ada dan cuba dikembangkan oleh saki baki pengikutnya. Justeru itu, jika masyarakat Islam tidak berwaspada dan berhati-hati dengan dakyah yang dibawa, sudah pasti mereka akan terperangkap dengan ajaran yang lazimnya menjanjikan pelbagai ‘keistimewaan’.

Sumber: Jurnal Syariah, Jil. 18, Bil. 2 (2010) 247-276, Universiti Malaya dan 'Ajaran Sesat di Malaysia', Jurnal Peradaban Bil.3/2010.


 

Comments