DAESH AKAN TERUS MEMBERIKAN ANCAMAN KESELAMATAN MESKIPUN DUNIA SEDANG DILANDA COVID-19

                                    BERWASPADALAH!!!!

Propaganda dan naratif COVID-19 oleh Daesh melalui saluran media mereka iaitu al-Naba adalah satu cubaan Daesh untuk dilihat relevan dan hebat di mata pengikutnya walaupun berhadapan dengan kekalahan teruk kerana kempen memerangi militan ini di Syria dan Iraq sebelum ini. Militan Daesh melalui rangkaiannya masih bergerak aktif untuk menyebarkan propaganda dan ideologi secara virtual di media sosial untuk mempengaruhi masyarakat awam.

Aktiviti keganasan masih terus dilakukan oleh kumpulan Daesh atau kumpulan lain yang menyokong Daesh meskipun dunia sedang dilanda pandemik covid-19 ini . Umpamanya di akhir tahun lepas, rangkaian Daesh melakukan beberapa serangan di Afghanistan dan Eropah. Di Asia Selatan, kumpulan Daesh juga bergerak aktif untuk melancarkan beberapa serangan di New Delhi, tetapi berjaya digagalkan oleh pihak berkuasa India. Begitu juga dengan operasi pengeboman terus berlaku di benua Afrika yang membunuh puluhan orang tentera, polis dan termasuk orang awam. Sementara di Asia Tenggara, dua kejadian yang dilakukan oleh rangkaian Daesh di Selatan Filipina iaitu kumpulan Abu Sayaf pada bulan ogos tahun lepas  telah membunuh 16 orang tentera dan termasuk juga orang awam.

Di negara kita, walaupun belum ada kejadian serangan yang berlaku dan belum ada tangkapan kes Daesh dibuat sejak berlakunya wabak covid 19 ini, namun ancaman Daesh tidak boleh dipandang ringan memandangkan serangan-serangan rangkaian Daesh juga dilakukan di Selatan Filipina yang bersempadan dengan perairan Sabah. Sementara itu, provokasi gerakan Hizbut Tahrir Malaysia di media sosial yang mengkritik kerajaan dan Barat serta mempromosi sistem Khalifah sepertimana provokasi yang dilakukan oleh kumpulan Daesh di media sosial mereka juga boleh mempengaruhi rakyat negara jni untuk menyokong kumpulan Daesh atau kumpulan radikal yang lain.

Hal ini menunjukkan krisis penularan COVID-19 tidak memberi kesan dan menjejaskan operasi rangkaian pengganas dan Daesh di rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia. Situasi terkini menyaksikan aktiviti keganasan kumpulan-kumpulan pengganas tempatan masih bebas beroperasi seperti biasa tetutamanya secara sembunyi.

Rangkaian pengganas juga boleh memberi ancaman dari segi serangan senjata kimia, biologi, radiologi dan nuklear yang melibatkan senjata biokimia seperti Antraks, 'Nerve Agent' Sarin dan 'Triacetone Triperoxide' (TATP). Kemunculan virus COVID-19 sedikit sebanyak boleh memberi inspirasi kepada gerakan pengganas yang memiliki keupayaan untuk mencipta virus maut seumpama itu pada masa akan datang untuk mencetuskan situasi panik dan ketakutan. Mereka berpotensi melancarkan serangan 'low method with high impact' menerusi kaedah ini.   

Serangan yang dilancarkan Daesh atau rangkaian pengganas yang lain berupaya melumpuhkan aspek ekonomi sesebuah negara. Mereka mengambil peluang ini untuk merencatkan ekonomi yang menjadi kekuatan pembangunan sesebuah negara dengan memanipulasikan aspek kapitalis dan sosialis yang diamalkan di kebanyakan negara dan menganjurkan aspek ekonomi Islam mengikut acuan Salafi Jihadi bertujuan membangunkan Khilafah Islamiyah.

Hal ini jelas menunjukkan rangkaian pengganas seperti Daesh hanya memanipulasikan Islam dan jihad demi mencapai objektif dan hawa nafsu politik kumpulan tersebut. Perjuangan yang diperjuangkan tidak menggambarkan sama sekali jihad dan syahid tetapi lebih kepada kepentingan perjuangan pemimpin organisasi sehingga mengorbankan orang awam yang tidak bersalah, menentang kerajaan dengan menyerang pasukan keselamatan dan menggadaikan nyawa anggota sendiri untuk serangan bom berani mati dan bunuh diri. Ternyata ancaman keganasan masih terus berlaku biarpun dunia sedang dilanda wabak COVID-19. 

Sumber: Terrorism Observer- 2 Nov 2020.

Comments