JADILAH MUKMIN YANG KUAT KERANA LEBIH DICINTAI OLEH ALLAH SWT

Di dalam tubuh yang sihat, pastinya terdapat jiwa yang kuat. Itulah ungkapan yang terbaik dan patut diberikan kepada para umat Islam yang sentiasa cekal dan tabah dalam menempuh ujian lalu mengabdikan dirinya kepada tuhan. Pasti hidup di dunia ini Allah SWT mendatangkan pelbagai ujian kepada kita untuk melihat sejauh mana kuatnya keimanan dan kecekalan hati kita untuk memperoleh ganjaran yang berlipat ganda di akhirat sana.

Rasulullah SAW bersabda:

“Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah SWT daripada Mukmin yang lemah, dan dalam masing-masing keduanya terdapat kebaikan..." (HR Muslim). 

Hadis sahih diatas juga turut membenarkan kenyataan ini yang bahawa Allah SWT sangat mencintai Mukmin yang kuat berbanding Mukmin yang lemah kerana Mukmin yang kuat mempunyai jiwa yang kental serta keteguhan iman yang tinggi dalam melaksanakan kewajiban dan tangungjawabnya kepada Allah. Berbanding dengan Mukmin yang lemah, mereka sering tewas dengan pujukan nafsu dan malas untuk mengerjakan tanggungjawab mereka. Ini termasuklah enggan meninggalkan perkara-perkara haram seperti maksiat dan jenayah kerana merasa seronok dan puas melakukannya berulang kali.

Rasulullah memerintahkan agar bersemangat dalam melakukan hal-hal yang bermanfaat dalam perkara yang berkaitan dengan agama dan dunia untuk menjadi mukmin yang lebih baik dan lebih dicintai Allah. Walaupun Mukmin yang lemah imannya masih juga terdapat kebaikan dan lebih baik daripada kafir, tetapi menjadi yang kuat adalah lebih baik dan disayangi Allah SWT kerana dengan kekuatan mereka mampu membela agama Islam serta mampu menyebarkan syiar Islam dengan sempurna. Apa yang pasti, janganlah sesekali kita bersikap malas dan tidak bersungguh-sungguh dalam melakukan perkara bermanfaat kerana kelak ia akan menjadi sumber kegagalan dalam diri.

Sumber: Koleksi Hadis 35 (Jimaain Safar, UTM, people.utm.my/ajmain/2015/12/03)


 

Comments