MEMENUHI HAK ORANG LAIN ADALAH KEWAJIPAN DAN MENYEKAT HAK ORANG LAIN ADALAH SUATU KEZALIMAN


Sabda Rasulullah SAW:

“Menahan hak orang lain atau menahan penunaian kewajiban (bagi yang mampu) termasuk kejahatan.” (HR Bukhari dan Muslim).

Di dalam Islam, apabila kita menahan hak seseorang, sangatlah dibenci oleh Allah SWT kerana ia adalah suatu kejahatan atau kezaliman yang akan mendapat balasan di hari akhirat kelak. Perbuatan yang dilakukan oleh seseorang tidak akan pernah ‘luput’ dari pengawasan Allah. Setiap kebaikan akan dibalas kebaikan dan setiap kejahatan atau kezaliman juga akan dibalas dengan azabNya. Allah tidak akan sesekali membiarkan ia begitu sahaja, dan jika ada semuanya perlu ‘ditebus’ di akhirat nanti.

Rasulullah SAW bersabda:

"Semua hak itu akan dipenuhi (dibalas) pada hari kiamat kelak, hingga kambing bertanduk pun akan dituntut untuk dibalas oleh kambing yang tidak bertanduk (kerana patah)" (HR Muslim).

Islam sangat membenci perbuatan jahat dengan secara sengaja ataupun melakukan dosa secara berulang seperti menahan hak orang lain kerana ia merupakan sebuah bentuk kejahatan yang amat buruk. Antara contoh yang boleh dilihat adalah penganiayaan para majikan terhadap pekerjanya seperti tidak membayar gaji, melakukan kezaliman dan sebagainya. Mungkin di dunia ia tidak mendapat balasan yang setimpal, tetapi harus ingat kezaliman yang tidak selesai di dunia akan terus berlanjutan dan akan diputuskan pada hari kiamat di hadapan Allah.

Pengajarannya di sini, berusahalah untuk menunaikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada kita walau sesusah mana pun kejadiannya. Ini kerana itu merupakan hak orang lain yang sepatutnya mereka terima dan layak dituntut. Jangan sesekali kita berlaku zalim dengan menafikan hak orang lain dan menganiaya mereka. Orang yang tidak menunaikan amanah dengan sewajarnya berdosa besar dan akan mendapat balasan azab yang setimpal di hari akhirat. 

Allah SWT berfirman:

“Dan janganlah sekali-kali kamu (Muhammad) mengira, bahwa Allah lalai dari apa yang diperbuat oleh orang-orang yang jahat. Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata (mereka) terbelalak. Mereka datang bergegas-gegas dengan mengangkat kepalanya, sedang mata mereka tidak berkedip-kedip dan hati mereka kosong.” (QS Ibrahim: 42-43).

Sumber: 'Penuhi Hak Orang Lain', Facebook Yayasan Islam Negeri Kedah.


 

Comments