MENJAGA HAK SESAMA MUSLIM ADALAH SATU KEWAJIPAN


 Dari Abdullah bin Umar RA mengkhabarkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Seorang muslim saudara terhadap sesama muslim, tidak boleh menganiaya dan tidak akan dibiarkan dianiaya orang lain. Siapa yang menyampaikan hajat saudaranya, maka Allah akan menyampaikan hajatnya. Siapa yang melapangkan kesusahan seorang Muslim, maka Allah akan melapangkan kesukarannya di hari kiamat, dan siapa yang menutup aib seorang Muslim di dunia, maka Allah akan menutup aibnya di hari kiamat.” (HR Bukhari: 2262) 

Setiap daripada Muslim itu adalah saudara seagama, bahu bertemu bahu ketika bersolat. Apakah menjadi bebanan sekiranya kita menjaga hak seorang Muslim yang lain? Allah SWT menganggap kita semua hambaNya yang mempunyai kedudukan yang sama. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk menjaga hak dan kebajikan Muslim yang lain tanpa mengira bangsa atau warna kulit. 

Firman Allah SWT:

“Wahai umat manusia, sesungguhnya kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan telah kami menciptakan kamu dengan pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (beramah mesra antara satu dengan yang lain) Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah adalah mereka yang lebih takwanya.” (QS Al-Hujurat:13)

Mulai dari hari ini, kita perlu mengubah ‘mindset’ kita dari sikap ‘tidak tahu’ kepada sikap ‘ambil tahu’ kepada saudara seagama kita. Jangan sesekali kita menzalimi mereka atau membiarkan mereka dizalimi pihak lain. Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk membantu dan mempertahankan hak mereka dan membantu mereka yang memerlukan bantuan atau hajat. Orang yang berbuat demikian, Allah akan memperkenankan hajatnya.

Sesungguhnya, Muslim yang mempertahankan hak dan melapangkan kesempitan Muslim yang lain semasa di dunia, Allah akan melapangkan dan mempermudahkan kehidupannya di hari kiamat. Ini kerana menurut Al-Qadhi Iyadh dalam Al-Minhaj Syarh Shahih Muslim (16/360): “Ditutupnya aib si hamba pada hari kiamat berkemungkinan 2 keadaan: Allah akan menutup maksiat dan aibnya dengan cara tidak mengumumkannya kepada manusia di padang mahsyar dan Allah tidak akan menghisab aibnya dan tidak akan menyebut aibnya tersebut.”

 Sumber: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Koleksi Hadis Jimaain Safar (https://people.utm.my/ajmain/2017/12/31/menjaga-hak-sesama-muslim/)

Comments