PANDANGAN IMAM KHOMEINI DALAM KITAB 'AL-HUKUMAH AL-ISLAMIYYAH' DAN 'KASYFU AL-ASRAR' PENUH DENGAN KESYIRIKAN DAN KESESATAN
BAHAYA SYIAH!!!
Ajaran Syiah memang penuh dengan kesyirikan dan kesesatan. Bagi umat Islam yang berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah, kesyirikan adalah apabila seseorang itu menyerahkan ibadah (beribadah) kepada selain Allah. Namun, menurut Syiah kesyirikan hanyalah jika seseorang meyakini bahawa adanya Tuhan lain selain Allah.
Sekiranya seseorang sujud dan berdoa kepada makhluk tanpa disertai keyakinan bahawa makhluk tersebut adalah Tuhan, maka ianya bukanlah satu perkara yang syirik. Oleh itu, pemahaman ini sangat bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Ajaran Syiah yang penuh dengan kesyirikan dan kesesatan ini boleh kita dapati daripada kitab-kitab yang dikarang oleh seorang yang dianggap ulama besar Syiah Imamiyah iaitu Imam Ayotullah al-Khomeini. Terdapat dua kitab utama karangan beliau yang penuh dengan kesyirikan dan kesesatan iaitu kitab 'Hukumah al-Islamiyyah' dan kitab Kasyf al-Asrar'.
Umpamanya dalam kitab Kasyf al-Asrarr, al-Khomeini menyatakan bahawa meminta kepada mayat dan batu bukanlah kesyirikan.
Menurutnya lagi, ruh seseorang setelah mati semakin hebat dan diberi kekuatan oleh Allah dan semakin tinggi kedudukannya lebih-lebih lagi ruh para nabi dan ruh para Imam suci yang telah dianugerahkan qudrah (kemampuan dan kekuatan) oleh Allah.
Selain itu, mengikut Khomeini kedudukan Imam-Imam Syiah adalah begitu tinggi sehingga melebihi kedudukan para Rasul dan Malaikat. Khomeini tidak mengiktiraf kerajaan Khalifah ar-Rasyidin kecuali Saidina Ali sahaja dan mengatakan Saidina Ali yang sepatutnya mengganti Rasulullah SAW tetapi dirampas oleh ketiga-tiga Khalifah tersebut.
Khomeini juga menjelaskan dalam kitabnya bahawa membina kubah atas kubur-kubur Imamnya akan diberi pahala yang besar dan dihapuskan dosa oleh Allah. Beliau juga mengatakan Saidatina Fatimah menerima wahyu. Selain itu, Khomeini membuat tuduhan yang karut marut terhadap sahabat (Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Muawiyyah) malah menghina dan mengkafirkan sahabat tersebut.
Lihatlah bagaimana terpesongnya akidah dan pemikiran yang ditetapkan oleh al-Khomeini kepada pengikut Syiahnya sehingga mempercayai dan membolehkan meminta bantuan kepada mayat. Sedangkan tiada mana-mana dalil atau hadis yang menyandarkan kenyataannya. Dia hanya menyandarkan kepada keyakinan kaum ahli falsafah Yunani yang tidak beragama, bukan Yahudi dan juga bukan Nashara.
Justeru itu, ilmu tentang asas agama sangat perlu dipelajari supaya dengan akal dan iman yang waras, kita dapat mengenali bahawa sesuatu perkara itu adalah sesat atau tidak.
Oleh sebab itu, Malaysia tidak mengiktiraf fahaman Syiah ini bukan sahaja kerana akidahnya yang terpesong, malah ia mampu mewujudkan pecah belah dalam kalangan umat Islam sendiri dan menggangu gugat keselamatan negara.
Sumber: Buku 'Sejarah Berdarah Sekte Syi’ah – Membongkar Koleksi Dusta Syaikh Idahram', Uztaz Firanda (2012).
Comments
Post a Comment