TAQWA DAN AKHLAK YANG BAIK MEMBAWA KE SYURGA, MULUT DAN KEMALUAN YANG BURUK (TIDAK DIJAGA) PUNCA KE NERAKA


Dari Abu Hurairah RA dia berkata; Nabi SAW pernah di tanya; “Perkara apa yang banyak menyebabkan orang masuk syurga?” baginda menjawab: “Taqwa kepada Allah dan akhlak yang mulia.” Baginda di tanya lagi; “Perkara apa yang banyak menyebabkan orang masuk neraka?” baginda menjawab: “Dua rongga yang terbuka iaitu mulut dan kemaluan.” (HR Ibnu Majah: 4236)

Sebagai umat Islam, kita seharusnya bertakwa kepada Allah dan memiliki akhlak yang mulia sebagai balasan untuk beroleh rahmat, pahala dan ganjaran syurga daripada Allah SWT. Memiliki akhlak yang mulia dan bertakwa kepada Allah adalah salah satu syarat bagi kesempurnaan iman setiap umat Islam. Ini kerana hanya dengan kesempurnaan iman kita kepada Allah penentu nasib kita sama ada bakal ke syurga atau sebaliknya.

Namun, dalam hadis di atas Rasulullah SAW ada menerangkan penyebab kepada seseorang itu dihumban ke dalam neraka adalah disebabkan oleh dua rongga iaitu mulut dan kemaluan. Syeikh Abdullah al-Talidi dalam Jawahir al-Bihar menyatakan: 

“Maksud mulut di dalam hadis adalah orang yang tidak menjaga serta berusaha untuk menjaga daripada dosa-dosa mulut seperti mengucapkan ucapan kufur, laknat, qazaf, mengejek, menipu, mengumpat, mengadu domba, persaksian palsu dan sebagainya. Selain itu, makna kemaluan pula adalah orang yang tidak menjaga kemaluannya daripada zina, liwat, tidak menjaga auratnya di hadapan selain daripada mahramnya seperti isterinya dan sebagainya.”

Sementara Syeikh al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwazi pula menyatakan: 

“Makna mulut di dalam hadis ini ialah menjaga lidahnya kerana menjaga lidah boleh menyelamatkan keseluruhan urusan agamanya dan memakan yang halal kerana itu adalah penghulu kepada ciri ketaqwaan.”

Walau apa pun alasannya, sebagai umat Islam yang patuh dengan suruhan dan ajaran agama, kita hendaklah berusaha sedaya upaya menjadi hamba Allah yang bertakwa dengan melakukan segala perintah dan menjauhi segala laranganNya. Inilah ‘kunci kejayaan’ untuk apa yang kita usahakan di dunia, supaya mendapat ‘rehat’ yang secukupnya di akhirat sana. Jadilah umat yang bertakwa dan memiliki akhlak yang mulia dengan memelihara mulut dan kemaluan dari melakukan dosa.

Sumber: Koleksi Hadis Jimaain Safar (https://people.utm.my/ajmain/2017/12/12/penyebab-masuk-syurga-atau-neraka/)


 

Comments