AWAS!!! JANGAN TERPENGARUH DENGAN PROVOKASI GERAKAN PEMISAH SELATAN THAILAND DI MEDIA SOSIAL KERANA MEREKA CUBA MENYUNTIK SEMANGAT MILITAN KEPADA UMAT ISLAM DI NEGARA INI


Pergolakan di Selatan Thailand merupakan konflik bersenjata yang berlaku sejak dahulu lagi antara masyarakat Melayu Islam di Selatan Thailand dengan kerajaan Thailand yang melibatkan isu untuk menuntut sebuah wilayah yang merdeka dan mempertahankan  identiti Melayu Islam di selatan negara tersebut. Akibatnya sehingga kini masih lagi terdapat insiden keganasan yang melibatkan kecederaan dan kematian hampir setiap hari di wilayah-wilayah yang majoritinya Islam seperti Patani, Yala, Songkla, Narathiwat dan Satun. 

Pergolakan yang berterusan di Selatan Thailand tersebut mempunyai hubung kait dengan beberapa gerakan pemisah Selatan Thailand.  Antara gerakan pemisah yang paling aktif hingga ke hari ini ialah Pertubuhan Gerakan Pembebasan Patani (PGPP). PGPP melibatkan dua kumpulan gerakan pemisah yang utama iaitu Patani United Liberation Organization (PULO) dan Barisan Revolusi Nasional Patani (BRN). Kedua-dua kumpulan ini dilihat masih aktif melakukan aktiviti untuk membebaskan Selatan Thailand menjadi sebuah negara yang merdeka daripada kerajaan Thailand.

Sementara itu, sejak dahulu lagi ramai masyarakat Selatan Thailand yang bermastautin di Malaysia untuk mencari rezeki dan sebahagiannya mempunyai hubungan kekeluargaan dengan penduduk di negara ini yang bersebelahan dengan negara tersebut. Walaupun negara ini pernah dijadikan pengkalan untuk menggerakkan perjuangan mereka di Selatan Thailand, tetapi kerajaan sentiasa mengawasi dan berjaya mengawalnya dengan baik. Namun, akhir-akhir ini ada bukti menunjukkan masyarakat Selatan Thailand yang bermastautin di negara ini semakin aktif mempromosikan dan menyebarkan ideologi perjuangan kumpulan pemisah sama ada PULO mahupun BRN di media sosial. Mereka mengajak masyarakat Islam di negara ini untuk sama-sama memperjuangkan nasib masyarakat Islam di Selatan Thai. 

Paparan imej mahupun video yang menunjukkan gambar pejuang pemisah yang bersenjata, suasana di tempat berlakunya konflik, pahlawan-pahlawan yang digelar ‘Harimau Melayu Patani’ dan pelbagai info ke arah keganasan semakin banyak disebarluaskan melalui medium media sosial. Antaranya seperti di laman facebook ‘Bangsaku Bersatu Patani Darussalam’, ‘Berani Kerana benar’ dan ‘Patani United Liberation Organisation Army’. Keadaan seperti ini perlu diambil perhatian yang serius dan perlu disekat segera oleh pihak berkuasa di negara ini kerana posting seperti itu sebenarnya menyuntik semangat militan kepada masyarakat Islam di negara ini. Apa yang kita bimbangkan, posting-posting tersebut akan menjadi motivasi untuk masyarakat Islam di negara ini untuk menyokong dan menyertai kumpulan militan seperti kumpulan IS atau kumpulan militan yang menyokong IS.

Memang diakui kini masih tiada ancaman yang bahaya, namun pergerakan dan aktiviti mereka di Malaysia sama ada secara fizikal mahupun atas talian perlu diawasi bagi mengelakkan konflik yang berlaku di Selatan Thai turut mencetuskan suasana bahaya yang boleh mengancam keselamatan di Malaysia. Apatah lagi jika negara ini dijadikan markas atau tempat bagi kumpulan militan dan radikal Islam untuk melancarkan serangan ke atas pemerintah kerajaan Thai di Selatan negara itu yang memang menjadi sempadan negara kita. 

Perkara ini perlu dibendung sejak awal kerana sebarang kewujudan kumpulan radikal dan militan yang menjadikan negara ini sebagai markas dan berusaha untuk menarik sokongan penduduk Islam negara ini, pastinya akan menimbulkan masalah dan ancaman yang besar kepada keselamatan negara kita.

Sumber: Kertas Kerja 'Transformasi Gerakan Pemisah Dan Potensi Penyelesaian Konflik Di Selatan Thailand', USM

Comments