BAHAYA AJARAN SESAT!!!BUKAN SAHAJA MEROSAKKAN AKIDAH, MALAH KETAKSUBAN TERHADAP AJARANNYA BOLEH MENGANCAM KESELAMATAN NEGARA


Akidah adalah tonggak kepada kekuatan ummah dalam menghadapi pelbagai cabaran duniawi. Kelumpuhan akidah ummah membuka ruang kepada musuh-musuh melancarkan serangan demi serangan semata-mata melemahkan kekuatan roh Islam dan akidah umat.

Berdasarkan kepada beberapa kajian, didapati bahawa cetusan ajaran sesat membawa kepada pencemaran akidah seseorang. Adakalanya pencemaran akidah tersebut akan menjadikannya kufur, murtad, sesat atau menyeleweng dari landasan Islam yang sebenar. Seterusnya ajaran sesat tersebut akan menghakis ketulenan agama yang telah gariskan dalam al-Quran dan as-Sunnah. Manusia tidak lagi beriman dengan Allah dan RasulNya. Malah menjadi syirik kerana turut mempercayai adanya kuasa-kuasa ajaib selain Allah.

Sejarah mencatatkan bahawa fenomena kemunculan ajaran sesat mampu mengancam keselamatan negara apabila pengikutnya ‘naik syeikh’ dengan doktrin dan ajaran yang diterapkan oleh guru mereka sehingga menyebabkan pengikutnya menjadi begitu taksub dan boleh bertindak ganas.  Sebagai contoh peristiwa hitam dalam tragedi Bukit Jenalik tahun 2000 di mana kumpulan al-Maunah yang bertindak menceroboh dua kem tentera dan melarikan sejumlah senjata api ke tempat persembunyian di Bukit Jenalik, Gerik untuk memberontak menyerang kerajaan Malaysia, masih segar dalam ingatan kita. Ketua kumpulan al-Maunah berjaya meyakinkan pengikutnya bahawa dia mempunyai ilmu yang menjadikan pengikutnya kebal dan boleh menghilang diri jika diserang. Ketua kumpulan itu juga berjaya meyakinkan pengikutnya bahawa mereka berjuang di jalan yang benar untuk melawan kerajaan 'toghut' (kafir) dan kumpulan mereka akan dibantu oleh tentera ghaib dari jin dan makhluk lain yang dikirimkan oleh Allah. Operasi untuk menggempur kumpulan al-Maunah telah mengorbankan dua orang anggota keselamatan yang terbabit dalam operasi tersebut. 

Paparan fakta tersebut membuktikan bahawa tindakan kumpulan ajaran sesat mengancam keselamatan negara. Bukan itu sahaja, sesebuah negara yang mengalami fenomena ajaran sesat berskala besar terpaksa juga menanggung beberapa risiko politik. Kadangkala sesuatu ajaran sesat tidak ketinggalan menjadikan tokoh politik tertentu sebagai sasaran mereka. Walaupun secara tidak langsung, pautan terhadap tokoh politik sudah cukup untuk dijadikan ‘kubu’ atau ‘perisai’ bagi mempertahankan ajaran mereka dari diusik oleh pihak-pihak tertentu.

Sebagai senjata akhir mereka menggunakan isu ‘murtad’ dan ‘hak asasi manusia’ yang akhirnya mampu menarik sokongan dan campurtangan bukan sahaja diperingkat tempatan malah antarabangsa. Fenomena yang disebutkan ini semuanya telah berlaku di Malaysia dan semakin kritikal. Lantas ia menjadikan proses membendung ajaran sesat semakin sukar dan menggugat kestabilan politik negara seterusnya mengkucar-kacirkan keharmonian negara.

Bagi umat Islam, kembali kepada akidah Islam sebenar adalah jalan terbaik untuk mengelakkan diri dari terbelenggu dengan ajaran sesat. Bagi memastikan masyarakat hidup dalam penghayatan Islam yang sebenar, maka tindakan penguatkuasaan undang-undang secara professional amat diperlukan dan ianya sebagai satu tuntutan dalam al-Quran dan hadith.

Sumber: Kertas Seminar Kebangsaan Pencegahan Jenayah Syariah 2018- JAKIM

Comments