Daripada Aisyah RA bahwasanya Rasulullah SAW bersabda:
"Siapa yang telah berbuat baik kepada kalian, maka balaslah kebaikannya. Apabila kalian tidak mendapat sesuatu untuk membalas budinya, maka doakanlah" (HR Bukhari, Ahmad, Abu Daud).
Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda:
"Barang siapa yang mendapatkan kebaikan maka balaslah dengan kebaikan yang serupa, dan barangsiapa yang tidak mampu maka sebutlah (semacam terima kasih) kebaikan tersebut. Barangsiapa yang menyebutnya (mengucapkannya) sungguh ia telah bersyukur dan barangsiapa yang membangga-banggakan diri dengan (menggunakan) sesuatu yang ia tidak berikan maka ia seperti orang yang memakai pakaian keburukan.” (HR Ahmad: 23452)
Islam amat mementingkan kebaikan serta menyeru umatnya supaya banyak melakukan kebaikan. Malah Allah SWT menggalakkan setiap hambaNya untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan. Firman Allah SWT:
"… Oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan)…" (QS al-Baqarah:148)
Ketika setiap orang dianjurkan untuk melakukan perbuatan baik, maka membalas kebaikan dengan kebaikan juga dianggap sebagai perkara yang baik. Perbuatan membalas kebaikan orang lain juga satu cerminan akhlak mulia. Ini bermakna Islam tidak membuka peluang sesetengah orang sahaja berbuat baik dan menutup pintu kebaikan untuk orang lain. Buktinya, orang yang menerima kebaikan juga berpeluang melakukan kebaikan dengan menghargai perbuatan baik yang diterimanya.
Walau bagaimanapun, apabila kita menerima kebaikan daripada seseorang tetapi tidak mampu membalasnya dengan jumlah yang setimpal, berilah ucapan terima kasih kepada si penyumbang sebagai tanda penghargaan dan juga sebagai tanda cara kita bersyukur. Satu hal yang perlu kita tahu, ucapan terima kasih yang terbaik diungkapkan ialah dengan kalimah “Jazakallahu khairan” (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan). Kalimat ini lebih bernilai kerana disamping kita mengucapkan rasa terima kasih, kita juga turut mendoakan kepada orang yang telah menyumbang.
Dari Usamah bin Zaid RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang diberikan satu perbuatan kebaikan kepadanya lalu dia membalasnya dengan mengatakan “jazakallahu khairan” (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka sungguh hal itu telah mencukupi dalam menyatakan rasa syukurnya.” (HR At-Tirmidzi:1958)
Ingatlah, tidak berkemampuan tidak semestinya kita tidak boleh melakukan kebaikan. Mendoakan kesejahteraan insan-insan yang menolong kita juga merupakan satu kebaikan malah dituntut di dalam Islam. Firman Allah SWT:
"Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu." (QS an-Nisa':86)
Sumber: Harian Metro “Buat baik balas baik” (1 Jun 2020)
Comments
Post a Comment