BERSANGKA BAIK DAN BERSABARLAH TERHADAP UJIAN YANG ALLAH SWT BERIKAN KERANA SETIAP UJIAN PASTI ADA HIKMAHNYA
Di waktu pandemik COVID-19 ketika ini, ramai di antara kita yang terkesan dengan ujian kehidupan yang tidak pernah berhenti. Lebih malang lagi, ada yang terpaksa menghadapi kenyataan bahawa mereka kehilangan anggota keluarga dan kerjaya akibat daripada serangan virus berbahaya ini. Amat menyedihkan, ini merupakan tahun kedua bagi umat Islam merayakan ibadah puasa dengan sistem SOP dan norma kehidupan baru.
Walau bagaimanapun, sebagai umat Islam yang berpendirian teguh dan mempunyai tahap keimanan dan kewarasan akal yang tinggi, kita jangan sesekali menyalahkan qada’ dan qadar yang terjadi. Ini semua adalah ujian daripada Allah SWT kepada hambaNya untuk melihat sejauh mana tahap kesabaran kita dalam mendepani ujian yang sebegini rupa. Sabda Rasulullah SAW:
“Sekiranya kamu ditimpa sesuatu musibah, janganlah kamu mengatakan 'kalaulah aku melakukan itu dan ini'. Akan tetapi, katakanlah 'takdir (ketentuan) Allah dan apa yang dikehendakinya pasti akan terjadi'." (HR Muslim)
Dalam kehidupan ini penuh dengan ujian. Sama ada miskin atau kaya seseorang itu, tetap ada ujian untuknya dalam pelbagai bentuk.
Ada yang diuji dengan kesedihan, ada yang diuji dengan kesusahan, kesakitan, masalah dan sebagainya. Macam-macam jenis ujian yang Allah beri dalam hidup ini.
Tapi kita sebagai manusia, kita perlu terima semua ujian-ujian itu dengan lapang dada. Setiap ujian yang dihadapi dalam hidup ini, mampu menjadikan seseorang itu lebih kuat dan tabah.
Allah tidak akan uji kehidupan seseorang itu melainkan, Dia tahu seseorang itu mampu. Meskipun tak mampu hadapi, tetapi mampu untuk belajar sesuatu daripada apa yang dihadapinya.
Oleh itu, kita disarankan supaya memperbanyakkan doa agar diberikan kekuatan iman. Sebaiknya, bersangka baik kepada Allah SWT dan sabar dengan ujian dan musibah yang dihadapi. Setiap yang berlaku di dunia ini adalah dengan keizinan Allah SWT dan pastinya ada hikmah yang diperoleh daripada ujian ini. Ya, tahun lalu merupakan tahun yang sangat mencabar buat umat manusia apabila keseluruhan dunia diserang pandemik COVID-19, peningkatan harga barangan, kejatuhan nilai matawang dan juga bermacam-macam musibah yang melanda. Namun, kita dituntut agar sentiasa sabar dengan setiap ujian yang mendatang dan melaluinya dalam keadaan seperti biasa.
Janganlah kita sesekali menyalahkan Allah SWT diatas apa yang melanda. Apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Sempena kedatangan bulan suci Ramadhan ini, marilah kita sama-sama memohon doa kepada Allah SWT supaya keadaan dunia akan lebih baik dan memulih pada masa akan datang. Allah SWT tidak akan sesekali menduga hambaNya di luar kemampuan hamba itu sendiri. Ujian ini sebenarnya menjadikan kita sama ada kita kuat dan positif ataupun rebah akibat sangkaan negatif.
Ingatlah, segala apa yang terjadi itu ada kebaikannya yang kita tidak nampak. Bersangka baiklah dengan ujian yang datang daripada Allah SWT kerana ia adalah ‘tiket’ bagi penghapusan dosa dan menjadikan diri kita lebih baik. Firman Allah SWT:
"Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." (QS Al-Baqarah: 216)
Sumber: Harian Metro Bersangka baik terhadap ujian daripada Allah” (5 Januari 2021) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment