BERSANGKA BAIK DENGAN MANUSIA ADALAH TUNTUTAN AGAMA DAN AKAN DIBERIKAN 'HUSNUL KHATIMAH' (PENGAKHIRAN YANG BAIK) OLEH ALLAH SWT
“Barangsiapa yang menginginkan Husnul Khatimah, hendaklah ia selalu bersangka baik dengan manusia.” (Imam As- Syafi’i)
Tidak dapat dinafikan bahawa setiap daripada kita ini pasti mempunyai perasaan buruk sangka sesama manusia walhal tidak ada apa-apa perkara yang berlaku. Ketahuilah bahawasanya itu semua adalah tipu daya syaitan yang ingin memperdayakan kita supaya wujudnya persengketaan di antara keturunan anak-anak Nabi Adam A.S.
Menganggap baik sesuatu perkara itu sangat dituntut dalam ajaran Islam kerana bersangka baik itu lebih afdhal, mulia dan dapat mengelakkan diri daripada menuduh orang lain berbuat jahat atau melakukan keburukan. Dalam pergaulan seharian, berbaik sangka menjadi amat penting kerana betapa banyak konflik, permusuhan bahkan pembunuhan yang terjadi datangnya daripada sikap buruk sangka.
Allah SWT berfirman:
“Wahai orang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati?” (QS Al-Hujurat: 12)
Hayati bait-bait kata Imam As-Syafi’i, jika kita menginginkan diri kita sentiasa berada di dalam husnul khatimah, kita hendaklah selalu berbaik sangka dengan manusia. Ini kerana jika kita selalu berbaik sangka ini dapat membersihkan hati dari titik-titik hitam. Titik hitam ini hanya singgah pada hati yang kotor. Jika hati sudah penuh dengan titik hitam, maka proses pembersihannya juga menjadi sukar. Bukankah mencegah lebih baik dari mengubati?
Islam menganjurkan umatnya supaya bersangka baik kerana ia adalah sifat yang terpuji. Bersangka baik juga boleh mengukuh ikatan silaturahim dalam kalangan masyarakat, pemimpin, jiran tetangga, rakan sekerja, sahabat baik atau dalam kalangan adik-beradik. Sekiranya kita mengambil pendekatan yang negatif, apabila berhadapan dengan seseorang atau pihak yang diragui kebaikannya, kita akan mudah membuat andaian buruk kepadanya.
Sumber: Laman Web Salam Web Today “Bersangka baik sesama manusia” (25 November 2020)
Comments
Post a Comment