GERAKAN ANTI HADIS PUNCA TERSEBAR LUASNYA FAHAMAN ISLAM LIBERAL DI NEGARA INI


Gerakan Islam Liberal di Malaysia, sekalipun tanpa memakai lencana ‘Islam Liberal’, ianya lebih banyak bersifat meniru tindakan dan pemahaman yang telah wujud di negara-negara Timur Tengah dan Indonesia. Buku karangan Charles Kurzman dan Leonard Binder menjadi rujukan utama bagi para pendokong fahaman Islam Liberal di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Cetusan fahaman Islam Liberal di negara ini sering dikaitkan dengan kemunculan gerakan anti hadis yang dipelopori oleh Kassim Ahmad. Kassim Ahmad dipercayai telah terpengaruh dengan Dr. Rashad Khalifa sehingga menulis sebuah buku kontroversi bertajuk ‘Hadis: Satu Penilaian Semula’ dan ‘Hadis: Jawapan kepada Pengkritik’ yang mengkritik penggunaan hadis sebagai sumber perundangan Islam. 

Beliau dilihat membawa idea yang hampir sama dengan fahaman golongan Islam liberal iaitu ajaran Islam hanya cukup berpandukan al-Quran sahaja tanpa  perlu dirujuk kepada hadis Rasulullah SAW dalam memahami teks al-Quran tersebut. Selain itu, beliau juga menggunakan logik saintifik dan logik akal dalam mentafsir ayat-ayat al-Quran. Menurut beliau, hadis hanyalah satu rekaan dan agakan atau pendapat para ulamak yang disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW dan ia sama sekali tidak berfungsi sebagai penerang atau penjelas kepada al-Quran.

Terdapat banyak persamaan di antara golongan anti hadis dan golongan Islam liberal di Malaysia. Antaranya ialah, pertama bersifat sekularisme. Golongan Islam liberal ini mempercayai bahawa agama hanya sesuai untuk tuntutan ibadah sahaja. Golongan anti hadis berkongsi kepercayaan terhadap kebebasan beragama dan kebebasan bertindak.

Kedua, penolakan terhadap perundangan Islam. Kedua-dua golongan ini lantang mengkritik pelaksanaan hukum syariat dengan pelbagai hujah senada dengan pandangan orientalis yang menganggap ia sebagai zalim dan tidak selari dengan peradaban moden. Mereka juga menganggap bahawa umat Islam dibelenggu dan didominasi oleh bangsa Arab.

Ketiga, penolakan terhadap autoriti keagamaan. Golongan Islam liberal dan anti hadis menolak ‘religious authotianism’ yang dianggap sebagai alat yang menjadikan umat Islam jumud dan tertutup serta tidak boleh melontarkan pandangan dan ijtihad. 

Keempat, kebebasan mentafsir al-Quran. Kedua-dua golongan ini berkongsi satu pandangan yang sama iaitu menggunakan rasional akal dalam mentafsir ayat-ayat al-Quran.

Secara jelas golongan anti hadis adalah selari dengan pemahaman Islam Liberal yang melihat umat Islam seolah-olah taksub dengan ajaran-ajaran yang diwarisi seperti ilmu kalam, fiqh, tafsir dan hadis tanpa soal. Malah mereka turut mendakwa para ulamak telah mencipta kasta seperti kasta sami dan paderi yang diadaptasi daripada ajaran Hindu menyebabkan umat Islam kini jahil kerana tidak sanggup atau takut untuk mendengar fikiran yang berlainan yang boleh mengubah cara hidup zaman berzaman. Pemikiran Kassim Ahmad dalam gerakan anti hadis ini masih dijadikan sandaran oleh pengikut-pengikutnya dan ia juga dijadikan sandaran hujah oleh golongan Islam liberal dalam wacana-wacana liberalisme di negara ini.

Jika melihat suasana di Malaysia, dalam perkara ini usaha penguatkuasaan undang-undang sukar dilakukan kerana melibatkan hak kebebasan agama. Mereka berpegang kepada prinsip kebebasan beragama dan hak asasi manusia yang berlaku di Malaysia. Justeru itu, siapakah yang perlu bertanggungjawab atas fenomena ini? Hanya pihak-pihak tertentu atau individu? Apakah tindakan selayaknya bagi membendung penularan fahaman yang boleh meruntuhkan akidah umat Islam? Tepuk dada, tanya iman. 

Sumber: E-proceeding of the Ist INHAD International Muzakarah & Mu’tamar on Hadith 2016, KUIS

Comments