ISU KALIMAH ALLAH. BERSATULAH DALAM MEMPERTAHANKAN KESUCIAN ISLAM BUKAN SALING MENYALAHKAN


“Jika kamu berdiam saat agamamu dihina, gantilah bajumu dengan kain kafan.” (Buya Hamka)

Barangkali itu satu kenyataan yang paling tepat dilontarkan ke arah kita pada saat ini. Tanggal 10 Mac lalu, seakan menjadi detik hitam bagi semua umat Islam negara ini apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan bahawa penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain (Baitullah, Kaabah dan solat) boleh digunakan oleh penganut agama Kristian di dalam penerbitan mereka. Marah? Tidak cukup, sama sekali tidak cukup kalau hanya sekadar mengekspresikan perasaan marah jika tiada apa-apa tindakan daripada kita.

Dari Abdullah bin Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Jagalah Allah, nescaya Dia menjagamu; jagalah Allah, nescaya kamu mendapatiNya bersamamu; jika kamu mempunyai permintaan, mintalah kepada Allah; jika kamu memerlukan pertolongan, minta tolonglah kepada Allah. Ketahuilah, seandainya seluruh manusia bersatu untuk memberi manfaat dengan sesuatu, mereka tidak akan dapat melakukannya kecuali dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan untukmu; dan jika mereka bersatu untuk mencelakakanmu dengan sesuatu, mereka tidak akan dapat melakukannya kecuali dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan untukmu.” (HR Tirmidzi)

Seharusnya dalam hal ini, apa yang perlu dilakukan oleh kita sebagai umat Islam adalah bersatu bagi mempertahankan agama yang syumul ini. Islam adalah agama kebenaran dan agama yang diredhai Allah SWT. Adakah kita sanggup melihat Islam diinjak-injak? Mungkin sesetengah daripada kita tidak merasa apa-apa. Namun keputusan fatwa 2008, Jabatan Mufti Negeri Pahang Darul Makmur telah menetapkan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di dalam apa-apa bentuk medium sama ada media elektronik ataupun media cetak adalah dilarang sama sekali sebagaimana yang termaktub di dalam Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-agama Bukan Islam No.5 tahun 1985. Ini kerana dikhuatiri boleh mendatangkan kekeliruan atau memesongkan akidah umat Islam.

Bukan semua perkataan dan kalimah Islam ini boleh digunakan oleh orang bukan Islam kerana ia jelas akan mengelirukan tafsiran penganut semua agama. Apatah lagi jika penggunaan Kalimah Allah itu memang ada tujuan dan agenda tersembunyi yang bukan untuk mengesakan Allah atau menjadikan Allah sebagai satu-satu zat yang perlu disembah dan diagungkan tanpa disekutukan. Ini kerana mereka dengan jelas tidak merujuk pandangan ilmuan agama dan hanya mentafsirkan melalui pandangan mereka sendiri. Bayangkan, sebelum keputusan ini dibuat, sebilangan Atheis dan Liberalisme serta golongan murtad dengan sewenang-wenangnya mencela dan menyukutukan Allah SWT dengan pelbagai penghinaan yang penuh dusta, apalagi apabila sesudah keputusan dibuat. 

Kini agama Islam bukan sahaja menerima ancaman daripada gerakan Kristianisasi sahaja, malah golongan ateis, liberalisme, sekularisme dan pluralisme sedang giat menyerang agama Islam untuk menyebarkan agenda mereka. Namun, umat Islam masih berpecah dan saling menyalahkan. Ia diburukkan lagi dengan isu Kalimah Allah ini dijadikan senjata oleh pemimpin politik untuk menyerang dan memburukkan parti politik yang lain. Sedangkan isu Kalimah Allah ini adalah isu tanggung jawab bersama yang perlu dicari jalan penyelesaian dengan merapatkan kesatuan umat Islam meskipun berbeza fahaman politik, bukan berpecah belah dan saling menyalahkan.

Oleh itu, tanyalah diri kita, apa peranan kita? Apa tindakan kita atas keputusan Mahkamah Tinggi tersebut? Seharusnya langkah drastik harus dilakukan dengan menekan beberapa agensi kerajaan dan NGO untuk memulakan langkah bagi menekan pihak yang bertanggung jawab termasuk pihak kerajaan dan pihak kehakiman supaya menyemak semula keputusan penghakiman tersebut demi keharmonian beragama di negara ini. Kita janganlah hanya duduk diam dan lihat apa keputusan seterusnya atau hanya membuat komen serta kritikan yang tidak membina sehingga memecahbelahkan lagi kesatuan umat Islam yang kini sudah berpecah berikutan perbezaan dalam fahaman politik. 

Hal ini tidak akan merubah apa-apa malah akan mendatangkan kerugian kepada umat Islam dan memberi keuntungan kepada musuh-musuh Islam. Jadilah seperti Saidina Umar al-Khattab yang tegas dalam membela agama Islam. Banyak cara yang boleh dilakukan oleh kita, hanya tinggal ya atau tidak sahaja untuk melaksanakannya.

Daripada Abu Said al-Khudri, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa dalam kalangan kamu yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubah dengan tangan (kuasa), sekiranya dia tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, sekiranya tidak mampu mengubah dengan lidah hendaklah dia mengubah dengan hati, dan mengubah dengan hati adalah selemah-lemah iman." (Riwayat Muslim)

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Pahang Darul Makmur dan Harian Metro “Pelihara kesucian Islam” (8 Disember 2020)

Comments