BAHAYA PEMIKIRAN SESAT ATEIS!!! “TUHAN TIDAK DAPAT DICARI WALAU GUNA TEKNOLOGI CANGGIH. KENAPA PERLU BERIMAN?”

Kewujudan gaya fikir ateisme sebenarnya memang sudah wujud pada setiap zaman. Mereka bukanlah suatu agama namun gaya fikir yang terhasil daripada akal yang mula menyimpang daripada lumrah dan fitrah. Kejahilan agama dan ketandusan iman sehingga merasa was-was tentang ketetapan syariah menjadi punca lebih ramai belia Muslim terjebak dalam fahaman ateisme.

Golongan ateis mendakwa Tuhan tidak memenuhi kriteria satu kewujudan. Pada mereka Tuhan yang didakwa seluruh agama tidak dapat dicapai melalui lima pancaindera iaitu tidak dapat dilihat, disentuh, didengar, dihidu dan dirasa. Oleh itu, Tuhan dikatakan tidak benar-benar wujud melainkan khayalan yang direka semata-mata.

Pada zaman moden ini, golongan ateis mendakwa bahawa Tuhan tidak juga dapat ditemui dengan alat dan teknologi canggih. Hal ini menyebabkan keyakinan mereka lebih kuat bahawa Tuhan itu tidak ada. Hakikatnya, kita sebagai umat Islam perlu sedar pembuktian sesuatu yang wujud tidak terhad kepada lima pancaindera sahaja. Akal yang terbatas tidak dapat digunakan untuk mengetahui perkara-perkara yang ghaib di alam akhirat. Untuk mengetahui di mana letaknya nyawa kita yang tak dapat dilihat dan diselidiki melalui alat teknologi canggih pun kita tidak dapat melakukannya. Apatah lagi untuk mengetahui tentang kewujudan Allah dan kehidupan di hari akhirat.  Sebaliknya, khabar yang mutawatir atau pemberitahuan/riwayat daripada ramai orang sehingga sukar dinafikan khabar itu juga merupakan suatu kaedah pembuktian kewujudan.

Sebagai contoh kewujudan Allah sudah dikhabarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang telah yakin dengan kewujudan Allah dengan pelbagai mukjizat yang diberikan kepada Baginda. Kemudian dikhabarkan kepada para sahabat Nabi sehingga sampai kepada kita pada hari ini dimana khabar kewujudan Allah adalah mustahil untuk dinafikan. Dengan demikian, kita yakin kewujudan Allah yang temasuk dalam hal 'ghaibiyyat' yang mesti diyakini setiap orang Islam.

Kejahilan dalam agama telah menyebabkan kita dimanipulasi dan dipengaruhi oleh media sosial terutamanya dalam kalangan belia. Kemunculan media baharu sebagai penerbitan media alternatif yang sukar dikawal turut menyumbang kepada kepincangan ini. Penyebaran fahaman melalui media bebas mengkritik dan mempersoal ajaran Islam menerbitkan idea-idea liberalisme dan pluralisme agama secara jelasnya bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah.

Oleh itu, fikirlah wahai masyarakat Islam. Hakikat dakwaan yang dilontarkan golongan ateisme adalah sekadar dakwaan palsu dan penyelewengan fakta. Atas sebab itu,dapat dilihat bahawa ateisme tidak mempunyai hujah melainkan kenyataan yang dipaksakan ke atas pengikut mereka. Semua hujah tentang ketuhanan dan masalah keagamaan hanya berdasarkan logik akal semata-mata sedangkan akal sendiri memang tidak mampu untuk membongkar dan mentafsirkan perkara-perkara 'ghaibiyyat' kecuali melalui petunjuk Allah yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Inilah fenomena yang berlaku hari ini. Golongan ateis cuba mempersoalkan hal-hal yang berhubung dengan ketuhanan dan agama hanya menggunakan logik akal semata-mata bagi mempengaruhi umat Islam yang ketandusan iman dan semakin jauh dengan pegangan agama Islam. Berhati-hatilah supaya kita tidak terpengaruh dengan dakyah mereka yang semakin diperhebatkan terutamanya melalui media-media sosial.

Sumber: www.academia.edu.com

Comments