KUKUHKAN PERPADUAN SESAMA MUSLIM DAN HINDARI HIDUP BERPUAK-PUAK DEMI MEMBINA KEKUATAN UMMAH


Semakin hari agama Islam semakin diinjak oleh penganut fahaman agama lain. Tetapi, umat Muslim masih juga tidak bersatu-padu, tidak mengukuhkan perpaduan sesama Muslim demi mempertahankan agama yang syumul ini. Mengapa sifat demikian terjadi kepada kita? Mengapa tidak ada satu pembentukan perpaduan untuk agama Islam? Penganut agama lain saling berganding bahu mempertahankan agama mereka, mengapa tidak kita? Sedangkan umat Islam adalah populasi terbesar di Malaysia dengan jumlah 60.4 peratus.

Sabda Rasulullah SAW:

“Bukanlah dari kalangan kami sesiapa yang menyeru kepaada assobiyyah, bukan dari golongan kami mereka yang berpegang atas asobiyyah, dan bukan dari golongan kami, sesiapa yang mati atas dasar assobiyyah.” (HR Abu Daud)

Seharusnya sebagai umat Islam, kita digalakkan untuk saling bersatu-padu dalam segala hal. Tidak kiralah dari segi kehidupan, sosialiti malah lebih lagi hal yang berkenaan agama Islam. Siapa lagi yang boleh diharapkan untuk membela agama selain daripada penganutnya sendiri? Agama Islam kini di ambang kesusahan akibat perbalahan di kalangan umatnya. Maka, dengan mudahlah musuh-musuh Islam ini mengambil kesempatan dengan ‘membuli’, mewujudkan satu suasana baru di kalangan masyarakat yang digelar sebagai Islamophobia, memfitnah Islam di ruang-ruang media sosial dan bermacam-macam lagi perkara negatif. 

Mengekalkan perpaduan merupakan sendi dan tunjang kekuatan perpaduan umat Islam yang dapat menjamin keharmonian dalam kehidupan. Kerana itu ikatan ini perlu dijaga dan dipelihara agar terus berpanjangan dan tetap dinikmati, hidup subur dan berterusan hingga ke akhir zaman. Bersatu kerana akidah dan untuk menegakkan kehendak Allah SWT di atas muka bumi ini adalah satu tuntutan yang tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi dijadikan bahan senda gurau.

Semua orang Islam wajib tahu perkara asas ini. Rasulullah SAW dan sahabat telah menunjukkan teladan bagaimana arahan Allah SWT boleh dilaksanakan yang terbukti memberi kesan besar kepada membentuk hala tuju baru umat Islam berperanan dalam kehidupan. Kekalkan perpaduan sesama Muslim agar pengukuhan dan kekuatan Islam semakin kukuh dan utuh. Firman Allah SWT:

 “Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (QS Al Anfaal: 63)

Dalam surah al-Hujurat juga Allah mengingatkan orang beriman supaya menjaga  persaudaraan sesama Islam dan sentiasa berdamai bukan bertelingkah. Jika ada yang bermusuh, maka mereka perlu didamaikan supaya umat Islam terus bersatu dan mempunyai kekuatan untuk melawan musuh-musuh Islam. Allah SWT berfirman:
"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat" (QS al-Hujurat: 10).

Sumber: Kementerian Hal Ehwal Agama Brunei Darussalam dan Berita Harian “Bersatu kerana akidah jalan menuju syurga” (4 Oktober 2019)

Comments