Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: "Barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaknya ia memuliakan tetamunya, dan barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah ia menyambung tali silaturahim, dan barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaknya ia berkata baik atau diam." (HR Bukhari No: 5673)
Sudah menjadi satu kewajipan kita sebagai manusia untuk saling memuliakan tetamu, bersilaturahim dan berkata baik sesama insan. Ia tidak terhad dalam ajaran agama Islam, bahkan agama lain juga mempraktikkan cara yang sama demi mencapai keharmonian masyarakat. Apabila kita menerima tetamu, maka wajib pada kita untuk melayani mereka walaupun dalam serba kekurangan.
Seperti kisah seorang sahabat Rasulullah SAW berketurunan Ansar yang melayani tetamu walaupun dia dan keluarganya serba kekurangan. Beliau berpura-pura membetulkan pelita, menyuruh keluarganya masuk ke dalam dan membiarkan tetamunya makan dalam gelap. Selepas pelita dinyalakan, beliau berpura-pura mencicip makanan tersebut agar nampak seperti dia menikmati hidangan bersama tetamunya.
Begitu juga halnya dengan sifat bersilaturahim, menyambung tali persaudaraan sesama Muslim menjadi satu kewajipan buat setiap umat Islam. Seseorang Muslim tidak dapat dikira sempurna imannya apabila dia tidak menghubungkan tali kasih sayang. Bahkan, Allah SWT mengancam tidak akan masuk syurga kepada sesiapa saja yang memutuskan silaturahim. Sabda Rasulullah SAW:
“Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim (hubungan kekeluargaan).” (HR Muslim)
Islam menggalakkan umatnya lebih banyak berdiam diri daripada banyak berkata-kata. Tanda orang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat juga adalah apabila bertutur, ia akan bertutur sesuatu yang baik dan mendatangkan pahala (termasuk sesuatu yang ditulis dan di tular). Berdiam diri bukan bermakna mengalah atau tidak mampu melawan, tetapi mengelak berlakunya fitnah serta menyebarkan keaiban. Seperti sabda Nabi SAW:
“Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam...” (HR Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, sebagai umat Islam kita hendaklah mempraktikkan kesemua ciri-ciri ini kerana ia dituntut dalam agama dan merupakan sebahagian daripada tanda keimanan. Islam adalah agama kedamaian yang penuh dengan sifat toleransi, atas sebab apa kita tidak mahu mempraktikkannya? Jangan jadi sombong dan bongkak sebaliknya jadilah seorang Muslim yang betul-betul mengikut ajaran agama sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Hidup bermasyarakat ini ibarat aur dan tebing, saling memerlukan antara satu sama lain.
Sumber: Harian Metro “Jaga silaturahim tanda orang beriman” (13 Jun 2019)
Comments
Post a Comment