Dalam kehidupan ini, tidak mustahil ada di antara kita yang diminta untuk menunaikan hajat seseorang. Seseorang itu bukan hanya tertumpu kepada ibu bapa atau ahli keluarga sahaja, malah ia boleh jadi teman, sahabat karib, jiran mahupun masyarakat. Tidak dinafikan kadang kala permintaan yang hendak dimakbulkan itu sangatlah sulit, tapi sebagai seorang Muslim apakah jalan yang boleh kita usahakan? Rasulullah SAW bersabda:
“Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar. Perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredhaannya di dalam hatinya pada hari Kiamat, dan sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan kakinya (ketika melalui pada hari Kiamat).” (HR At-Thabrani: 6/139)
Lihat hadis di atas, bagaimana Allah SWT memberikan seribu rahmat kepada Muslim yang menunaikan permintaan Muslim yang lainnya. Sifat ini juga yang dimiliki oleh Rasulullah SAW apabila Baginda membantu golongan yang memerlukan dan tidak menghampakan harapan dan permintaan orang lain. Sifat pemurah Rasulullah SAW wajar dicontohi oleh umat Islam yang lain kerana ganjaran Allah SWT kepada mereka yang pemurah itu sangat besar.
Malah, dalam hadis di atas juga telah diterangkan bagaimana menunaikan permintaan saudara seagama itu adalah lebih baik daripada beriktikaf di dalam masjid selama sebulan dan Allah SWT akan menyelamatkannya dari azab api neraka. Menjadi manusia yang lebih banyak manfaat itu adalah lebih baik dan layak digelarkan sebagai Muslim sejati. Ini kerana seorang Muslim sejati tidak akan sesekali menangguhkan tugas dan amanah yang diberikan.
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah SWT melapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Rasulullah S.A.W.:
"Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya. Siapa yang melapangkan kesusahan seorang Muslim, maka Allah akan melapangkan kesukarannya di hari kiamat..." (HR Bukhari).
Oleh itu, tunaikanlah hajat sesama saudara Islam kita agar kita dipermudahkan urusan di dunia dan akhirat. Memiliki sifat rahmah seperti ini seperti mencontohi sifat pemurahnya Rasulullah SAW. Jangan sesekali mengatakan tidak, bersedialah membantu dengan kemampuan kita. Moga kita sentiasa bersikap ramah dan rahmah terhadap orang lain, pemurah dan tidak bakhil.
Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Facebook Page / Cintai Hadis Rasulullah (s.a.w)
Comments
Post a Comment