Isu murtad dalam kalangan umat Islam di Malaysia telah sampai ke tahap yang membimbangkan kerana jumlah yang murtad semakin bertambah dari masa ke semasa. Gejala ini memberi gambaran kepada kita bahawa semakin ramai umat Islam telah terpesong daripada ajaran Islam sebenar selain kekuatan umat Islam di Malaysia semakin tergugat oleh pelbagai anasir.
Bukan itu sahaja, kewujudan segelintir orang Islam yang tidak lagi sensitif terhadap isu orang Islam yang mahu murtad dan hanya memandang sebelah mata seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku menambahkan tragis terhadap gejala ini. Malah ada pula individu dan pertubuhan yang mendukung usaha untuk memudahkan orang Islam untuk murtad kononnya atas nama kebebasan beragama dan hak asasi manusia untuk membuat pilihan berdasarkan apa yang mereka inginkan. Ada juga yang menjunjung fahaman liberal dan berusaha menyamakan kedudukan Islam sebaris dengan agama lain.
Setelah mengulas serba ringkas tentang beberapa kisah murtad akibat gerakan kristianisasi mahupun misionari agama lain terhadap masyarakat beragama Islam dalam penulisan-penulisan artikel sebelum ini, dapat disimpulkan bahawa usaha ini menggambarkan mereka semakin berani menggunakan perlbagai cara dan medium untuk menarik perhatian dan sokongan masyarakat dalam dan luar negara.
Antara intipati perjuangan yang dimainkan ialah berkenaan hak asasi manusia, diskriminasi keagamaan, kezaliman kerajaan, kebebasan beragama dan menghina agama Islam. Hasil inisiatif golongan murtad yang menggunakan badan antarabangsa dan ruang siber antaranya adalah kewujudan laman Rosina Kamis yang ditubuhkan untuk membela golongan murtad yang ingin melarikan diri ke luar negara setelah murtad. Laman blog Murtad di Malaysia yang ditubuhkan ini adalah sebagai ruang untuk memberi sokongan moral kepada mereka yang murtad di samping sebagai ruang perbincangan kelompok mereka yang telah dan ingin murtad. Laman Facebook yang ditubuhkan ini kononnya untuk kelompok murtad di Malaysia dan Singapura bagi mengekspresikan diri. Dalam laman Facebook ini, pemilik akaun tersebut dengan bangganya mengaku murtad secara terbuka dan sering berkongsi status yang menghina agama Islam.
Isu murtad adalah jenayah berat dalam Islam yang perlu diberi perhatian serius oleh umat Islam. Kajian secara terperinci dalam isu ini memperlihatkan terdapat kaitan antara kes murtad dan usaha kristianisasi malah menunjukkan tahap solidariti yang tinggi di kalangan pertubuhan Kristian dalam dan luar negara. Oleh itu, artikel ini ditulis bukan untuk mencari salah siapa tetapi ingin memberi kesedaran kepada seluruh umat Islam dan pihak-pihak berwajib terhadap bahayanya gejala murtad yang sedang berlaku sekarang ini. Ia menjadi tanggung jawab semua umat Islam untuk menghalang gejala ini dari terus merebak di negara ini. Pihak-pihak berkuasa yang berkenaan dan semua NGO Islam perlu mengambil perhatian yang serius dan melakukan tindakan yang sewajarnya untuk menangani masalah murtad ini daripada terus merebak. Sekiranya tidak diambil tindakan dengan segera, kita amat bimbang ia akan menjadi ancaman utama kepada kesucian agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan akan memberi ancaman kepada keharmonian beragama, seterusnya akan mengancam keselamatan negara ini.
Sumber: Buku 'Pendedahan Agenda Kristian', Majlis Agama Islam Selangor (2014)
Comments
Post a Comment