Hidup di dunia ini bukanlah semata-mata tentang diri kita sahaja. Bahkan, ia merangkumi semua kehidupan makhluk lainnya. Jadi, kita tidak boleh terlalu mementingkan diri sendiri, seeloknya saling bantu membantulah kita sesama manusia, lebih-lebih lagi sesama Muslim. Islam mengajarkan kita untuk saling membantu di antara satu sama lain, apatah lagi dengan kedatangan bulan suci Ramadhan yang hanya tinggal berapa hari sahaja lagi.
Firman Allah SWT:
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa….” (QS Al-Maidah: 2)
Sering kali kita lihat bagaimana umat Islam menyambut kedatangan bulan Ramadhan dengan penuh kemewahan. Segala persiapan dilengkapkan bermula dari hiasan hingga hidangan makanan. Akan tetapi, bagaimana pula golongan kurang berkemampuan? Mereka juga ingin merasa sambutan bulan yang mulia, tetapi keadaan berkata sebaliknya. Ditambah pula dengan serangan pandemik COVID-19, sudah tentu keadaan bertambah sukar. Inilah masanya untuk kita menabur bakti dengan saling bantu-membantu sesama Muslim untuk meringankan beban mereka. Sifat ini sangat disayangi oleh Allah SWT kerana adanya seorang Muslim yang sanggup menolong Muslim lainnya di dalam kesusahan demi meringankan beban yang ditanggung.
Sabda Rasulullah SAW:
“Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.” (HR Muslim)
Oleh itu, marilah kita sama-sama memulakan amalan bantu-membantu ini secara istiqomah dan berterusan. Jangan mengharapkan pihak-pihak ketiga seperti NGO atau badan-badan bantuan lain memulakan langkah dengan memberikan bantuan terlebih dahulu. Kita yang sepatut memulakannya agar menjadi contoh dan ikutan para Muslim yang lain untuk meringankan beban sesama umat Islam di negara ini. Walaupun bantuan yang dihulurkan itu kecil, tetapi ia dipandang amat besar oleh Allah SWT. Ini kerana keikhlasan hati kita untuk membantu meringankan beban saudara seagama kita, bukan berapa jumlah yang dihulurkan. Rasulullah SAW bersabda:
“Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling bermanfaat untuk manusia. Dan amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah kegembiraan yang engkau masukkan ke dalam hati seorang mukmin atau engkau hilangkan salah satu kesusahannya, atau engkau membayarkan hutangnya, atau engkau hilangkan kelaparannya.” (HR At – Thabrani)
Sumber: Harian Metro “Allah tolong kita” (2 Disember 2019)
Comments
Post a Comment