SERANGAN TERBARU BOM BUNUH DIRI DI MAKASSAR PETANDA KEBANGKITAN SEMULA KUMPULAN TERORIS DI RANTAU INI?
Pada ahad, 28 Mac yang lalu, dunia dikejutkan dengan kejadian letupan di Gereja Katedral Makassar, Indonesia. Ia dilakukan oleh sepasang suami isteri yang dikatakan hanya baru 6 bulan bernikah. Modus operandi pengeboman bunuh diri tersebut seolah-olah memberi petanda era kemunculan semula kumpulan militan atau teroris di Indonesia. Sumber dari pihak keselamatan Indonesia menjelaskan bahawa kejadian tersebut dipercayai angkara gerakan Jemaah Ansharut Daulah (JAD) iaitu kumpulan militan atau teroris di Indonesia yang ada hubungan dengan kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) dan Daesh. Kumpulan JAD ini juga yang pernah melakukan serangan seumpamanya di gereja Pulau Jolo, Selatan Filipina dan pengeboman di Surabaya, Indonesia pada tahun 2018. Serangan terbaharu di Makassar tersebut telah mengorbankan pasangan suami isteri yang menjadi pelaku serangan bunuh diri itu dan mengakibatkan 19 orang awam cedera.
Tindakan pengeboman bunuh diri tersebut atas alasan jihad bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam malah telah mencemarkan imej Islam. Ironinya, dalam kes pengeboman bunuh diri tersebut menyebabkan banyak nyawa orang awam yang tidak bersalah terkorban serta rumah ibadat dimusnahkan. Keadaan ini jelas bertentangan dengan panduan syariat Islam. Seringkali agama dipersalahkan dan menjadi kambing hitam dalam setiap tindakan terorisme yang dilakukan terutamanya oleh orang beragama Islam, sedangkan tindakan tersebut adalah atas dasar kepentingan peribadi dan kumpulan teroris untuk mencapai matlamat mereka meskipun perbuatan tersebut tidak berkaitan langsung dengan ajaran Islam malah diharamkan oleh Allah SWT seperti firmanNya yang bermaksud:
"…Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah ibadat orang-orang Yahudi dan masjid-masjid yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)Nya…” (QS al-Haj:40).
Begitu juga dengan perbuatan membunuh jiwa insan oleh pihak teroris yang tidak berhati perut adalah perbuatan diharamkan Islam. Perkara itu dijelaskan Allah SWT dalam al-Quran yang maksudnya:
“Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar.” (QS al-An’am: 151).
Kaedah pengeboman bunuh diri ini yang sering digunakan oleh kumpulan-kumpulan teroris adalah menggunakan kaedah IED (Improvised Electronic Devise) dan HME (Homemade Explosive) pada diri sendiri yang dipakai dalam bentuk ‘vest’ serta diletupkan oleh perumah atau si pemakainya. Bom yang dipasang pada diri mereka akan diletupkan berdasarkan sasaran yang dirangkaatau diletupkan kerana ancaman yang berlaku pada ketika operasi dijalankan.
Menurut pakar-pakar keganasan, pada masa akan datang dijangka kaedah yang lebih sofistikated akan digunakan iaitu dengan cara menanam IED dalam badan anggota. Kaedah ini dikenali sebagai ‘surgically implanted’ atau ‘love handles’. Pengebom berani mati boleh membawa bahan letupan kemana sahaja di seluruh dunia tanpa dikesan. Ianya sama seperti memasukkan botox atau ‘buah dada tiruan’ di kalangan penyerang wanita. Kaedah ini amat sukar dikesan dan telah digunakan dalam operasi khas Amerika termasuklah agen-agen perisikan seperti CIA, FBI, KGB dan MOSSAD.
Oleh itu, Malaysia perlu mengambil iktibar dan harus bersedia untuk menghadapi kemungkinan ancaman-ancaman yang dihasilkan melalui modus operandi pengeboman bunuh diri yang menggunakan IED, HME dan sebagainya. Kejadian di Indonesia mahupun di Selatan Filipina baru-baru ini menunjukkan bahawa sikap mengambil mudah terhadap isu pengamalan ideologi telah mengakibatkan kemusnahan yang besar serta melahirkan konflik berpanjangan antara agama, bangsa dan negara. Persoalannya, adakah pembebasan Abu Bakar Bashir menjadi pencetus semula pengeboman bunuh diri di kalangan kumpulan teroris di rantau ini?
Sumber: Jurnal Sulesana, Volume 8(2), 2013 dan Astro Awani- 13 Mei 2019
Comments
Post a Comment