SIFAT MALU ADALAH AKHLAK ISLAM UNTUK MEMBENTENGI DIRI DARI KEMUNGKARAN


Malu. Apa itu malu? Ia adalah satu perasaan negatif yang timbul dalam diri seseorang akibat daripada kesedaran diri mengenai perlakuan tidak senonoh yang dilakukan oleh dirinya sendiri. Ia juga adalah sebahagian daripada tanda keimanannya seorang Muslim. Ini kerana dengan adanya sifat malu, ia dapat menahan dirinya daripada melakukan dosa dan maksiat.

Dari Annas RA, Rasulullah SAW bersabda: 

“Sesungguhnya setiap agama memiliki akhlak, dan akhlak Islam adalah malu.” (HR.Ibnu Majah: 4181)

Antara akhlak dan sifat Rasulullah SAW yang mesti dan patut kita contohi ialah sifat malu. Imam At-Termizi berkata bahawa malu adalah perhiasan mukmin sejati. Ia merupakan akhlak para nabi dan para rasul yang harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku umat Nabi Muhammad SAW. Sesunggunya sifat malu adalah sifat yang mengajar kita untuk sentiasa menghiasi diri dengan sifat-sifat yang mulia dan terpuji.  Selain itu, perasaan malu juga akan membuatkan seseorang itu untuk lebih berhati-hati dalam setiap gerak-geri dan tingkah laku sama ada dari segi perkataan mahupun perbuatan. 

Islam mementingkan sifat malu kerana ia mengukuhkan lagi pegangan akidah dan memandu pelaksanaan ibadah seorang Muslim. Sabda Rasulullah SAW: 

"Malu dan iman sentiasa bersama. Apabila salah satunya dicabut, maka hilanglah yang lainnya." (HR al-Hakim)

Sesuatu kemungkaran yang berlaku sebenarnya didasarkan kepada ketiadaan sifat malu dalam diri manusia. Kehilangan sifat ini akan menyebabkan seseorang berani melakukan maksiat secara terang-terangan baik di khalayak ramai, apatah lagi di depan Allah SWT. Jelaslah implikasi sifat malu adalah untuk mengukuhkan iman seseorang Muslim. Semakin tinggi iman seseorang, maka semakin tinggi harga dirinya. Apatah lagi, dengan sifat malu juga seseorang Muslim dapat menghindarkan diri daripada melakukan perbuatan yang ditegah oleh Allah SWT.

Begitulah pentingnya sifat malu dan sewajarnya kita memiliki sifat itu. Malu bukan kerana kekurangan atau kelemahan diri di mata manusia sahaja, tetapi malu tanda iman kepada Allah SWT yang menyebabkan kita sentiasa ingin melakukan amalan yang diredai Allah SWT. Perkembangan dalam masyarakat hari ini, sewajarnya memiliki sifat malu itu ditekankan kerana banyak perkara yang menyalahi syariat berlaku boleh dikatakan berpunca daripada sifat malu yang semakin terhakis dalam keperibadian umat Islam.

Sumber: Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam dan Berita Harian “Sifat malu halang kemungkaran” (3 Februari 2015)


 

Comments