BERHATI-HATILAH DENGAN AJARAN KUMPULAN TARIQAT SESAT YANG SEMAKIN BERKEMBANG DI NEGARA INI!!! MESKIPUN BERTOPENGKAN ISLAM TETAPI IA SESAT DAN MENYESATKAN


Penyelewengan dalam bentuk tariqat merupakan salah satu bentuk ajaran sesat yang semakin mendapat perhatian pada masa kini. Ajaran berbentuk tariqat sesat ini biasanya menggunakan nama-nama tariqat yang termasyhur. Guru-guru kumpulan tariqat yang sesat ini mengambil nama kumpulan tariqat yang masyhur dan baik, namun sebaliknya mereka terpesong daripada ajaran tariqat yang benar kerana mengamalkan amalan yang berbeza daripada ajaran tariqat asal yang benar tersebut. Ajaran tariqat yang dibawa oleh guru-guru yang tidak bertanggung jawab ini telah diubahsuai berdasarkan logik akal dan berdasarkan ilmu yang didakwa oleh guru mereka sebagai ilmu yang diperolehi secara langsung daripada Allah atau wali-wali yang telah meninggal dunia sehingga ia menyeleweng daripada ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Kesesatan kumpulan tariqat ini sangat jelas apabila mereka yang mengikuti tariqat tersebut meyakini bahawa mereka sudah mencapai tahap tertinggi dalam ilmu mengenal Allah (ilmu makrifat kepada Allah) sehingga Allah dirasakan telah menyatu dalam diri mereka dan mereka tidak perlu lagi berpegang kepada syariat Islam sebab kedudukan mereka yang bermakrifat kepada Allah menjadikan diri mereka lebih tinggi daripada syariat Allah. Oleh itu, mereka tidak lagi perlu bergantung kepada syariat seperti tidak perlu lagi solat, puasa, zakat, haji, jihad dan sebagainya. 

Baru-baru ini timbul pula ajaran tariqat Hj. ismail Wajeng. Jika kita ikuti posting di laman facebook ‘Ibrahim Hj. Sapeh’ yang merupakan salah seorang pengikut ajaran sesat berbentuk tariqat tersebut, ada menerangkan mengenai hidup, mati dan maut. Pencerahan yang dibuat terhadap tiga konsep tersebut didapati amat bertentangan dengan ajaran Islam. Sebagai contoh, katanya orang yang hidup tidak perlu didoakan kerana ianya perbuatan yang sia-sia dan membuang masa. 

‘Ibrahim Hj. Sapeh’ yang juga merupakan pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pernah mendapat darjah kebesaran daripada Sultan Selangor didapati mengikut tariqat tok gurunya iaitu Hj. Ismail Wajeng yang dikatakan seorang ‘ahli sufi akhir abad’ berasal daripada Kota Makassar, Indonesia. Berbeza dengan ahli sufi lain yang benar mengikut Islam, gurunya tetap akan mengajar muridnya bermula dengan syariat, tariqat, hakikat dan makrifat, dengan tidak melakukan amalan yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam. Namun, ajaran tariqat sesat Hj. Ismail Wajeng ini terus ke peringkat makrifat dan kemudiannya barulah menjalankan syariat. Menurut beliau ‘Temukanlah dulu Tuhanmu, biarlah Tuhanmu yang mengajarkanmu tentang syariat’. 

Hj. Ismail Wajeng walaupun tidak pernah mengaku Tuhan, nabi, ustaz, kiai dan seumpamanya, namun pengikutnya menyakini bahawa beliau lebih dikenali oleh penduduk langit dan para malaikat tingkat tinggi. Malah Hj. Ismail Wajeng pernah mendakwa bahawa dia pernah melalui perjalanan batin menghadap Allah, dibukakan batinnya sehingga dapat berdialog langsung dengan Allah. Proses pertemuan jiwa, rohani dengan Allah SWT telah menyebabkan beliau diberikan tugas untuk menyampaikan ilmu yang diperolehi secara langsung dari Allah SWT tersebut kepada pengikutnya.  

Begitulah sesatnya ajaran Hj. Ismail Wajeng yang bukan sahaja berjaya disebarkan di wilayah Makassar, Sulawesi Tenggara, Jakarta, bahkan ianya merebak sehingga ke Malaysia. Jika kita melihat ‘Ibrahim Hj. Sapeh’, beliau adalah seorang pesara PDRM yang berpangkat besar dan pernah mendapat darjah kebesaran sudah tentu mempunyai pengaruh yang besar. Sekiranya beliau yang berpangkat besar dalam PDRM pun turut terpengaruh dengan ajaran sesat dan tiada sekatan dikenakan, maka tidak mustahil ianya mampu mempengaruhi masyarakat Islam yang lain untuk turut mengikuti tariqat-tariqat yang hakikatnya telah menyeleweng dari ajaran Islam yang benar.

Sumber: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan

Comments