Apabila kita berbicara soal sedekah, pasti ia tidak akan lari dari bayangan bulan Ramadhan. Ini kerana di bulan mulia ini sahajalah para umat Islam akan memperolehi ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah SWT selain dari amalan lain. Akan tetapi, dengan keadaan ekonomi negara yang tidak menentu akibat serangan pandemik COVID-19, mungkin ada di antara kita mula berkira-kira dan takut sekiranya bersedekah, maka tiada apa yang tinggal untuk diri sendiri.
Sebagai seorang Muslim, kita wajib percaya kepada rezeki yang diturunkan oleh Allah SWT. Tidak ada salahnya sekiranya kita susah namun mempunyai sedikit nilai wang atau barangan berharga lain, kita sedekahkan kepada golongan yang lebih memerlukan. Bersedekah tidak akan menjadikan seseorang itu jatuh miskin atau papa, kerana Allah SWT akan memberikan ganjaran dan rahmat daripada amalan tersebut.
Rasulullah SAW memuji seorang lelaki yang sanggup menyumbang dan bersedekah dalam keadaan dia kedekut kerana masih memerlukan wang tersebut. Sabda Baginda:
“(Sedekah yang paling besar ganjarannya ialah) Engkau bersedekah ketika sihat sedangkan hatimu berasa sangat kedekut (untuk bersedekah), jiwamu sedang takutkan kemiskinan dan engkau bercita-cita mengharapkan kekayaan.” (HR Bukhari)
Sedekah merupakan amalan yang paling baik dan paling disukai oleh Allah SWT. Ini seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Umar secara marfu:
“Amalan yang disukai Allah SWT ialah membawa kegembiraan kepada orang yang beriman, menjauhkan kesusahannya, melangsaikan hutangnya atau menghilangkan kelaparannya.” (Ibn Abi Dunya, Qadha al-Hawaji)
Bahkan, amalan sedekah akan dipamerkan mengatasi amalan lain dan dijadikan kebanggaan sebagaimana kenyataan Saidina Umar al – Khattab:
“Segala amalan akan saling berbangga antara satu sama lain. Maka amalan sedekah akan berkata, “akulah yang terbaik dalam kalangan kamu (amalan-amalan).” (HR Baihaqi)
Oleh itu, jangan sesekali kedekut untuk bersedekah kerana takut akan kehilangan harta, sebaliknya bersedekahlah walaupun jumlahnya sedikit. “Sharing is caring”, itulah bait-bait kata yang selalu diungkapkan oleh semua orang. Berkongsi rezeki dengan cara menginfaq dan bersedekah adalah amalan yang sangat mulia, walaupun kita sendiri dilanda kesusahan. Malah, para malaikat turut mendoakan para hamba-hamba Allah yang gemar bersedekah. Sabda Rasulullah SAW:
“Ketika hamba berada pada setiap pagi, ada dua malaikat yang turun dan berdoa, “Ya Allah, berikanlah ganti kepada yang gemar berinfaq.” Malaikat yang lain berdoa, “Ya Allah, berikanlah kerugian bagi yang enggan bersedekah.” (HR Bukhari dan Muslim)
Sumber: Portal Web Isma
Comments
Post a Comment