BERUSAHALAH MEMBURU 'MAGHFIRAH' (KEAMPUNAN ALLAH) DAN MERAIH 'MARDHATILLAH' (KEREDHAAN ALLAH) MELALUI PINTU-PINTU KEBAIKAN DI BULAN RAMADHAN
Di bulan Ramadhan ini Allah SWT menyediakan pintu-pintu kebaikan kepada orang-orang beriman supaya mereka menjadi insan yang bertakwa. Apabila orang beriman memasuki pintu kebaikan tersebut maka ia akan membuka pintu-pintu kebaikan lain pula. Di bulan yang mulia dan penuh barokah ini, Allah SWT sediakan tiga pintu kebaikan yang terbuka lebar untuk orang beriman mendapat keampunan dan keredhaan Allah SWT. Amat rugilah jika seorang Muslim tidak memanfaatkan pintu kebaikan yang tersedia di bulan yang mulia ini. Hidup di dunia ini adalah untuk ‘bekerja keras’ sebelum mendapat ‘rehat’ yang panjang di negeri akhirat sana. Pintu kebaikan yang Allah SWT sediakan di bulan Ramadhan ini adalah seperti pesan Rasulullah SAW kepada Muaz bin Jabal RA. Rasulullah SAW bersabda:
“Aku akan memberitahu kepada kepadamu pintu-pintu kebaikan iaitu; puasa adalah perisai, sedekah meleburkan dosa seperti air memadamkan api, dan seorang hamba bangun (qiamullail) di malam hari.” (Musnad Ahmad: 21628)
Lihat hadis di atas bagaimana Rasulullah SAW memberikan pesanan tentang pintu-pintu yang menjadi asbab untuk kita melakukan kebaikan, mendapat keampunan dan seterusnya mendapat redha Allah SWT. Pintu kebaikan pertama adalah berpuasa. Orang yang berpuasa cenderung lebih lembut hatinya. Ia akan menahan daripada berbuat maksiat kepada Allah SWT. Oleh itu puasa boleh menjadi benteng atau perisai kepada seseorang daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang Allah SWT dan yang boleh mendatangkan dosa. Puasa juga adalah perisai yang akan melindungi umat Islam daripada kehancuran jiwa, kerosakan perjalanan hidup dan juga boleh melindungi diri daripada terjerumus ke dalam golongan manusia yang tidak memiliki sifat sabar. Sabda Rasulullah SAW:
“Puasa adalah perisai yang dapat melindungi seorang hamba dari siksa neraka.” (HR Ahmad: 3868)
Pintu kebaikan kedua adalah bersedekah. Bersedekahlah kita kerana sedekah ini dapat meleburkan dosa seperti air memadamkan api. Orang yang banyak bersedekah cenderung suka berbuat baik dan mempunyai kepedulian sosial yang tinggi. Sebagai umat Islam, kita dianjurkan bersedekah khususnya kepada mereka yang memerlukan seperti bantuan derma kewangan dan juga barangan lebih-lebih lagi kepada mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19 di bulan Ramadhan. Sabda Rasulullah SAW:
“Hindarilah neraka meskipun dengan sebelah biji kurma.” (HR Bukhari)
Pintu kebaikan ketiga adalah menghidupkan malam dengan qiamullail. Melakukan solat malam atau qiamullail adalah ciri utama penghuni syurga. Orang yang rajin solat malam, cenderung akan melakukan perintah Allah SWT dan RasulNya dengan sebaik mungkin sama ada yang wajib mahupun yang sunnah. Sesungguhnya barangsiapa yang menghidupkan solat sunat malam, memperbanyakkan zikir dan munajat kepada Allah SWT, maka Dia akan mendapat seribu rahmat dan gandaan pahala di akhirat kelak.
Seharusnya kita mengambil masa dan peluang yang ada di bulan Ramadhan ini dengan memperbanyakkan amalan ibadah kepada Allah SWT agar mampu membina kekuatan rohani kita. Ambillah kesempatan ini dengan bermunajat, memohon ampun dan berdoa kepada Allah SWT di sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini terutamanya pada waktu malam agar Allah SWT mengampuni dosa-dosa kita, menghindari diri kita daripada segala bahaya yang mendatang dan kita memperolehi redha Allah SWT. Sebarang ganjaran kebaikan yang Allah SWT hendak berikan kepada hamba-Nya pada hari akhirat kelak tidak diketahui. Ganjaran itu pastinya sesuatu yang tidak pernah terbayang dan tergambar pada fikiran kita.
Sumber: Harian Metro “Tiga pintu kebaikan untuk ke syurga” (24 April 2019)
Comments
Post a Comment