Dalam dunia ini bukan semua kehidupan berpaksikan kepada manusia sahaja, tetapi kepada seluruh alam dan persekitarannya. Akan tetapi, urusan dan tanggungjawab untuk menggerakkan urusannya adalah manusia yang telah diamanahkan oleh Allah SWT sebagai khalifah di muka bumi ini. Oleh itu, sebagai umat Islam dan juga Muslim, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyebarkan kebaikan bukan sahaja sesama manusia, bahkan semua makhluk ciptaan Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.” (QS Yunus: 26)
Sebagai umat Islam, kita bukan sahaja dituntut untuk berbuat kebaikan, malah mengajak orang lain melakukan perkara yang sama. Meskipun kita bukanlah bergelar ustaz atau ustazah mahupun pendakwah, namun tiada salahnya kita mengajak orang berbuat baik kerana ia ialah amalan terpuji. Ini kerana menyebarkan kebaikan itu tiada batasnya, sedangkan Allah SWT telah menjanjikan barangsiapa yang melakukannya mendapat pahala berganda, apatah lagi jika kebaikan itu dituruti oleh orang lain.
Banyak cara yang kita boleh lakukan dalam melunaskan niat kita untuk menyebarkan kebaikan. Tidak hanya dengan perbuatan, malah dengan kata-kata juga kita boleh menyentuh perasaan seseorang untuk melakukan kebaikan. Apalagi dengan kecanggihan teknologi alam maya, penggunaan laman sosial semakin meluas sehingga hari ini. Lihat sahaja channel Youtube ‘Tarbiah Sentap’, sebuah channel di laman sosial yang menyasarkan golongan belia dan mengajak mereka untuk mengenal agama Islam dan berbuat kebaikan tetapi di dalam versi terkini. Dengan cara itu, ia dapat menarik minat para belia untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW:
Bertakwalah kepada Allah dimanapun engkau berada dan iringilah setiap keburukan dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapuskan keburukan, dan pergauilah manusia dengan akhlak yang baik.” (HR Abu Daud)
Menyebarkan kebaikan kepada semua makhluk ciptaan Allah SWT adalah tanda yang menunjukkan kita ini seorang Muslim yang unggul. Walaupun terdapat beberapa halangan, jangan sesekali mengalah dalam menyebarkan kebaikan. Rasulullah SAW juga berdepan dengan sejuta kejahatan dan ancaman daripada kaum kafir Quraisy ketika menyebarkan kebaikan, maka kita juga harus menjadi sekental itu dalam menghadapi cabaran untuk menyebarkan kebaikan.
Sumber: Sinar Harian “Pahala berganda apabila ajak orang buat baik” (31 Julai 2019)
Comments
Post a Comment