JANGAN MENJADI ORANG YANG RUGI DENGAN MENSIA-SIAKAN KEHADIRAN RAMADHAN UNTUK MENDAPAT KEAMPUNAN ALLAH SWT
Bulan Ramadhan adalah bulan yang datang sekali hanya setahun, amatlah rugi jika kita mensia-siakannya kerana di dalam bulan inilah terkandungnya seribu rahmat di mana pintu-pintu syurga dan keampunan akan dibuka seluas-luasnya dan pintu-pintu-pintu neraka akan ditutup serapat-rapatnya. Bahkan, para ulama telah membuat suatu perumpamaan yang baik dan indah untuk bulan Ramadhan. Mereka mengatakan bulan Ramadhan itu laksana pasar yang dibuka, kemudian ditutup. Maka orang yang beruntung akan meraih keuntungannya, sedangkan orang yang merugi akan menghilang keuntungannya.
Mari kita teliti suatu hadis Rasulullah SAW yang merupakan peringatan keras daripada Baginda untuk mereka yang memasuki bulan Ramadhan tetapi tidak mengambil manfaat dari kelebihan berganda yang Allah SWT anugerahkan. Sayugialah kita mengambil iktibar dan pelajaran darinya. Dari Jabir bin ‘Abdullah berkata, Rasulullah SAW menaiki mimbar ketika baginda menaiki anak tangga yang pertama, kedua dan ketiga, baginda menyebut “Amin.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, kami mendengar engkau menyebut Amin sebanyak tiga kali.” Baginda bersabda:
“Ketika aku menaiki anak tangga yang pertama, Jibril datang kepadaku dan berkata, ‘Celaka sungguh seorang manusia yang bertemu dengan Ramadhan, tetapi keluar daripadanya tanpa diampuni dosanya...” (HR Bukhari)
Ternyata, itu adalah doa malaikat Jibril A.S terhadap golongan manusia yang mengabaikan bulan Ramadhan dan ia sudah pun diaminkan oleh Rasulullah SAW pada 1400 tahun yang lalu. Tidakkah kita merasa takut dan gementar? Doa ini sudah pun dimakbulkan dan akan terpakai sehingga ke akhir zaman. Pernahkah kita terfikir bahawasanya kita telah didoakan oleh malaikat Jibril A.S dan diaminkan oleh Rasulullah SAW sebelum kelahiran kita ke bumi ini akibat mengabaikan bulan Ramadhan? Tetapi itulah kebenarannya.
Apa yang boleh dikatakan, janganlah kita menjadi sebahagian daripada golongan yang rugi di dunia dan di akhirat. Allah mendatangkan kita satu bulan yang penuh kerahmatan dan mempunyai ganjaran yang sangat banyak. Mengapa kita masih tidak boleh menahan diri dari melakukan perbuatan yang sia-sia, keji dan dusta? Sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya”.” (HR Bukhari)
Sesungguhnya, peringatan ini amat menakutkan kerana bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan ini sepatutnya memberi peluang kepada kita meraih keampunan. Namun ada yang tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT dalam bulan ini lalu mereka termasuk di dalam golongan orang-orang yang teramat rugi. Oleh itu untuk mendapat keampunan daripada Allah SWT kita perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh melakukan amal ibadat dalam bulan Ramadhan agar kita meraih segala kelebihan yang terdapat di dalamnya. Ini sebagaimana Sabda Nabi SAW:
“Wahai orang yang menghendaki kebaikan, datanglah dan wahai orang yang menghendaki kejahatan, berhentilah dan Allah memerdekakan orang-orang dari neraka. Yang demikian itu (terjadi) setiap malam.” (HR Tirmidzi)
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment