KESESATAN ATEIS YANG MENOLAK KEWUJUDAN TUHAN. BUKTI APA LAGI YANG MEREKA MAHUKAN?


Statistik terkini jumlah penganut beragama di dunia menunjukkan kumpulan yang tidak menganut apa-apa agama mencapai jumlah hampir dua bilion daripada jumlah keseluruhan penduduk dunia iaitu kedudukan ketiga tertinggi dalam senarai agama paling besar di dunia selepas Kristian dan Islam.

Hal ini menyedarkan kita bahawa masih ramai insan di dunia ini yang masih meragui kewujudan Tuhan terutamanya dalam kalangan mereka yang tidak beragama. Bagi golongan ateis jawapannya mudah, “aku tidak Nampak Tuhan, jadi bagi aku Tuhan itu tiada” atau “mengapa wujudnya kesengsaraan, kejahatan dan bencana jika Tuhan itu Maha Penyayang?” atau mungkin bagi mereka yang beragama, namun masih tidak menemui jawapan yang memuaskan melalui agamanya mengenai persoalan-persoalan ketuhanan dan kejadian alam semesta sudah tentu membuatkan mereka meragui kewujudan Sang Pencipta dan langsung memilih untuk tidak beragama.

Melalui sirah kita mengetahui terdapat nabi dan rasul terdahulu yang turut berhadapan dengan manusia yang menolak kewujudan Tuhan, malah mengaku menjadi Tuhan. Sebagai contoh kisah Nabi Musa a.s yang berhadapan dengan Firaun yang mengaku dirinya adalah Tuhan. Nabi Musa a.s. menunjukkan mukjizatnya berupa tongkat Baginda yang boleh bertukar menjadi ular besar dan menelan ular-ular kecil kepunyaan ahli-ahli sihir Firaun. Mukjizat ini telah menyedarkan ahli-ahli sihir tersebut akan kewujudan Tuhan dan membawa mereka untuk beriman kepada Allah sedangkan Firaun dan pembesar-pembesarnya tetap dalam kekafiran serta mati dalam kehinaan.

Selain itu, antara kisah ateis terkenal ialah Dr. Antony Flew, seorang pakar rujuk dalam bidang ilmu falsafah yang juga merupakan pakar rujuk ateisme berasal dari Britain. Beliau memperjuangkan falsafah ateisme selama 50 tahun dan telah menghasilkan lebih 30 buah buku mengenai ateisme. Namun ketika beliau berusia 81 tahun, beliau telah mengisytiharkan keyakinan beliau akan kewujudan Tuhan. Perubahan keyakinan beliau adalah disebabkan kajian beliau yang mendalam tentang kejadian DNA yang merupakan sebahagian daripada ilmu sains moden.

Oleh itu, bukti apa lagi yang dimahukan oleh golongan ateis tentang kewujudan Tuhan? Sesungguhnya tanda-tanda kewujudan Tuhan ada dimana-mana. Ia boleh diperoleh melalui al-Quran, juga terbentang luas pada seluruh alam ciptaanNya. Tanda-tanda itu juga ada pada diri manusia itu sendiri. Carilah kebenaran daripada mencari kesalahan.

Sumber: hidayahcentre.org.my

Comments