MENINGGALKAN PERKARA-PERKARA YANG TIDAK BERMANFAAT ADALAH TANDA KESEMPURNAAN SEORANG MUSLIM


Sebelum kita dilahirkan ke dunia, kita sudah mengikat janji dengan Allah SWT bahawa kita akan menjadi hambaNya yang soleh dengan melakukan amal ibadah serta meninggalkan segala laranganNya. Jadi, sudah menjadi keutamaan kita semua untuk menuruti setiap perintah Allah SWT dengan melakukan segala kebaikan dan meninggalkan segala perkara yang sia-sia. Sabda Rasulullah SAW:

“Diantara kesempurnaan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya (tidak berfaedah baginya).” (HR Tirmidzi)

Hadis ini mengajarkan kepada kita bahawa hidup sebagai seorang Muslim ternyata bukan hanya sekadar menjalankan ibadah-ibadah yang mahdhah (ibadah yang sudah ditentukan syarat dan rukunnya), tetapi menjadi seorang Muslim juga adalah bagaimana kita mempunyai sikap dalam kehidupan kita. Seorang Muslim juga harus memiliki sikap dan prinsip yang kuat dalam hidupnya seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis ini bahawa seorang Muslim itu akan mempertimbangkan segala sesuatu yang akan dilakukan atau dipilih apakah ia bermanfaat untuk dunia dan akhiratnya atau tidak.

Seorang Muslim harus memastikan perkataan dan tindakan yang muncul darinya adalah sesuatu yang bermanfaat, kerana kehidupan di dunia ini amatlah singkat maka Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita bahawa apa yang kita lakukan ini adalah hal-hal yang bermanfaat, baik untuk dunia mahupun akhirat. 

Oleh itu, ambillah masa yang ada ini dengan melakukan perkara-perkara yang berfaedah dan meninggalkan segala hal-hal yang sia-sia yang boleh menimbulkan maksiat dan dosa. Terutamanya ketika di bulan Ramadhan ini, gunakanlah masa yang ada untuk melakukan lebih amal ibadah seperti membaca al-Quran, berzikir, beriadah secara ringan seperti berjalan, berkebun atau melakukan kerja-kerja kebajikan demi memudahkan urusan orang lain. Barulah minda kita sentiasa terbuka dan akal kita sentiasa cerdas. Rasulullah SAW bersabda:

“Sebaik-baik manusia adalah manusia yang memberi manfaat bagi orang lain.” (HR Ibn Hibban)

Sumber: Laman Web Islampos.com (https://www.islampos.com/nabi-berpesan-untuk-tinggalkan-hal-hal-yang-tidak-bermanfaat-199581/)

Comments