Sebagai manusia yang juga makhluk ciptaan Allah SWT, kita tidak akan lari daripada sifat kasih sayang. Walaupun sejahat-jahat seorangnya manusia, pasti ada terselit sifat kasih dan sayang di dalam dirinya.
Sempena menyambut kedatangan bulan Ramadhan ini, tidak ada salahnya untuk kita memulakan langkah untuk menyebarkan perasaan kasih dan sayang sesama manusia lebih-lebih lagi sesama Muslim.
Sabda Rasulullah SAW:
"Barangsiapa tidak menyayangi manusia, Allah tidak akan menyayanginya." (HR At-Tirmidzi)
Allah SWT mahukan hambaNya bukan sahaja taat dalam hal kerohanian semata-mata, sebaliknya turut melihat ketika mereka berinteraksi sesama mereka dan persekitarannya. Ini kerana seorang Muslim dianggap tidak beriman jika tidak mengasihi Muslim lainnya. Hati seorang Muslim perlu sentiasa terisi dengan nilai kasih sayang dan sikap keprihatinan.
Oleh itu, marilah kita mulakan azam baru ini dengan menyebarkan kasih sayang sesama Muslim. Sikap tersebut merupakan kunci kepada keperibadian yang mulia. Mulakan dengan memberi salam dan senyum.Rasulullah SAW bersabda:
"Kamu tidak dapat masuk syurga sehingga kamu beriman, kamu tidak benar-benar beriman sehingga kamu berkasih sayang. Mahukah aku tunjukkan kepada kamu satu amalan yang apabila kamu lakukannya, maka kamu akan berkasih sayang? Sebarkanlah salam antara kamu." (HR Muslim)
Sumber: Harian Metro “Menyebar barakah sesama manusia” (18 September 2018
Comments
Post a Comment